Exabytes komited pulihara alam sekitar melalui penanaman 1,000 pokok di Balik Pulau

24 Jul 2023 • 2:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Exabytes komited pulihara alam sekitar melalui penanaman 1,000 pokok di Balik Pulau

zulfadli

24/07/2023 - 14:30

KUALA LUMPUR 24 Julai - Penyedia perkhidmatan lengkap teknologi awan, e-dagang dan digital terulung di rantau Asia Tenggara, Exabytes Group mengumumkan kesinambungan kempen 'Let’s Plant A Tree' bagi tahun yang kedua, susulan kejayaan kempen sama pada tahun lalu.

Kempen ini sebahagian daripada inisiatif kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus kerajaan (ESG) dan berlangsung dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), EasyParcel serta Jabatan Perhutanan Pulau Pinang.

Ia dilaksanakan dengan matlamat untuk mengukuhkan impak positif kepada alam sekitar menerusi penanaman 3,330 batang pokok di daerah Balik Pulau yang mendamaikan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes Group, Chan Kee Siak berkata, kempen Let's Plant A Tree adalah bukti komitmen tidak berbelah bagi pihaknya kepada kelestarian alam sekitar.

"Pada masa sama, kami amat berbangga dengan kejayaan kempen ini pada tahun lepas. Pada tahun ini pula, kami berharap dapat menggandakan lagi impak positif kepada alam sekitar dengan dukungan daripada rakan-rakan kongsi dan klien kami.

"Kami menggunakan tanda pagar #LetsPlantATree sebagai semboyan kempen bagi menyeru semua pihak untuk bersatu dan bekerjasama dalam mengembalikan keseimbangan kepada sistem ekologi.

"Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada organisasi dan individu lain untuk mengutamakan pendekatan yang lestari dan mampan serta menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau," katanya dalam kenyataan media di sini.

image is not available

image is not available

Kempen sulung Let’s Plant A Tree yang berlangsung pada April 2022 merupakan cetusan idea Exabytes dengan matlamat untuk memelihara kepelbagaian biologi bumi dan menangani cabaran ekologi semasa seperti kemerosotan hutan.

Usaha serupa pada tahun ini berlangsung dengan impak berkumpulan yang lebih besar apabila 1,000 batang pokok yang ditanam disumbangkan oleh Exabytes dan penaja bersama kempen, platform tempahan penghantaran bungkusan Nombor 1 Asia, EasyParcel.

Menerusi kerjasama EasyParcel, kempen ini membawa matlamat untuk memberikan impak positif yang berkekalan kepada alam sekitar dan memberi inspirasi kepada pihak lain untuk turut serta.

image is not available

Pelancaran kempen yang berlangsung berdekatan Pantai Malindo di Balik Pulau ini menarik penyertaan sebanyak 32 pekerja Exabytes dan 12 wakil serta sukarelawan dari EasyParcel.

Exabytes mempelawa orang ramai dan semua pelanggannya untuk menyertai inisiatif ini dengan menyumbang sebanyak RM10 bagi membantu penanaman sebatang pokok mewakili mereka.

Mereka yang ingin turut serta dan menyokong penanaman pokok boleh melawat laman kempen di www.exabytes.my/plantatree untuk membeli jumlah pokok yang diingini. - DagangNews.com