EXCO: 2,145 kes pembakaran terbuka hingga September, 80 peratus berskala kecil

LocalEnvironment
31 Oct 2026 • 6:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO: 2,145 kes pembakaran terbuka hingga September, 80 peratus berskala kecil

SUBANG JAYA, 31 OKT: Sebanyak 2,145 kes berkaitan pembakaran terbuka direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sehingga September lalu, dengan majoritinya melibatkan pembakaran sampah sarap berskala kecil dan kawasan perumahan.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata hampir 80 peratus kes membabitkan pembakaran kecil, termasuk aktiviti yang dilakukan penduduk dan pusat kitar semula haram.

“Hampir 80 peratus atau 78 peratus melibatkan aduan tentang kebakaran kecil, jumlah hampir sama berbanding tahun lalu.

“Kita lihat keseriusan kes, ada yang didakwa, dikompaun atau diberikan notis. Kebakaran kecil ada pelbagai jenis, pihak melakukan penduduk atau 'illegal recycling center',” katanya pada Sambutan Hari Alam Sekitar dan Hari Ozon peringkat negeri di sini.

Image from: EXCO: 2,145 kes pembakaran terbuka hingga September, 80 peratus berskala kecil
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap ketika majlis Sambutan Hari Alam Sekitar dan WOD Peringkat Negeri Selangor di Sunway Square Mall pada 31 Oktober 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Susulan itu, Jamaliah memaklumkan Kerajaan Negeri akan terus mempergiat program kesedaran bagi mendidik masyarakat mengenai kesan pembakaran terbuka terhadap alam sekitar, khususnya pencemaran udara.

“Kita akan cuba lebihkan lagi program kesedaran tentang impak dan kesannya pada alam sekitar termasuk mendidik penduduk.

“Mungkin mereka rasa bakar sikit tak bawa masalah tetapi sebenarnya menyumbang kepada isu alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai agensi turut melaksanakan program masing-masing bagi meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi usaha bersepadu.

Pada masa sama, Jamaliah menggesa orang ramai segera melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada JAS atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) supaya tindakan lanjut dapat diselaraskan.

“Boleh buat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar dan bomba juga. Bomba juga boleh laporkan dan aduan akan diselaraskan dengan Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved