Exco Baharu Perlis Dilantik 2 Minggu Lagi - MB

LocalPolitics
29 Dec 2025 • 3:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Barisan exco baharu Kerajaan Negeri Perlis yang terdiri daripada wakil BERSATU dan PAS akan dilantik selewat-lewatnya dalam tempoh dua minggu akan datang.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, barisan exco tersebut akan dilantik selepas perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail, sebelum cadangan dikemukakan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk memohon perkenan.

“Proses pelantikan baharu ini akan mengambil sedikit masa, namun buat masa ini, exco sedia ada akan bertindak sebagai ‘caretaker’ bagi sebarang urusan yang boleh dihadiri. Insya-Allah, saya fikir dalam tempoh dua minggu kita akan menyelesaikannya. Sama ada berlaku pertambahan atau pengurangan, kita juga akan mengambil kira bajet dan beberapa faktor lain.

“Kita mahu pentadbiran atau pelantikan exco ini sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kepimpinan kedua-dua parti (BERSATU dan PAS) dan pentadbiran kerajaan juga dapat dilaksanakan secara harmoni dan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi ‘clock-in’ pada hari pertama beliau bertugas di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Seri Putra hari ini.

Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, walaupun Perlis mempunyai sumber pendapatan yang terhad, beliau tetap yakin negeri itu mampu bergerak ke arah pembangunan yang lebih seimbang menerusi beberapa pendekatan yang diambil.

“Perlis akan mengubah corak dan cara perkhidmatan dengan ‘trademark’ 3B, iaitu bangkit, berdaya tangkas dan buat; bermaksud kita bangkit dengan kunci kejayaan kita, berdaya tangkas dengan kuasa yang kita ada dan kita buat dengan modal yang kita miliki.

“Kita perlu bangkit daripada tidur, bangkit daripada kelemahan, bangkit daripada kemalasan dan sebagainya. Inilah yang kita tekankan kepada diri saya sendiri dan juga kepada semua penjawat awam,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan pemotongan gaji buat dirinya sendiri dan barisan exco.

Abu Bakar mengambil potongan gaji sebanyak RM3,000 sebulan, manakala setiap ahli exco akan mengalami pengurangan sebanyak RM1,500.

Katanya, langkah itu bertujuan meringankan beban kewangan negeri serta menunjukkan solidariti bersama rakyat.

“Terdapat rakyat di negeri ini yang bergelut untuk memperoleh pendapatan walaupun RM500 sebulan. Saya mengambil potongan gaji ini secara sukarela supaya rakyat dapat melihat bahawa kami bersama mereka,” katanya. - Getaran, 29 Disember 2025