HULU LANGAT, 3 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM80 juta untuk membaik pulih cerun runtuh di Jalan Genting Peras, susulan kejadian banjir besar pada 2021.
Laluan berkenaan menghubungkan daerah Hulu Langat, Selangor dengan Jelebu, Negeri Sembilan.
EXCO infrastruktur berkata proses memperkukuhkan sembilan cerun berisiko telah mencapai 36 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember ini.
“Kerajaan Persekutuan turut menyalur RM4 juta manakala RM80 juta oleh negeri menjadikan jumlah keseluruhan RM84 juta.
“Setakat ini, 36 peratus kerja baik pulih cerun di laluan B32 Jalan Genting Peras telah dilaksanakan, melebihi dua peratus mengikut jadual,” kata Ir Izham Hashim kepada pemberita selepas meninjau kerja baik pulih cerun hari ini.

Beliau berkata jalan tersebut yang ditutup sejak Disember 2021 itu dijangka dibuka pada Disember ini sebaik kerja baik pulih selesai.
“88 cerun dikenal pasti runtuh disebabkan fenomena hujan melampau pada 2021. Maknanya apabila hujan terlalu lebat, anak sungai dalam hutan sekitar kawasan ini akan mengalir turun ke pokok menyebabkan cerun runtuh.
“Kita akan pantau sepanjang kerja baik pulih untuk memastikan keselamatan pengguna terpelihara memandangkan ada yang melalui jalan ini untuk aktiviti berbasikal,” jelasnya.
Pada 19 Disember 2021, kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Genting Peras-Jelebu hingga menyebabkan laluan kedua arah terhalang. Kejadian itu berlaku berhampiran sempadan dengan daerah Hulu Langat, Selangor.



The post EXCO: Dana RM80 juta baik pulih cerun Jalan Genting Peras, jangka siap Disember appeared first on Selangorkini.


