KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mendedahkan senarai kawasan 'hotspot' bagi kes penyalahgunaan dadah melibatkan lapan daerah di seluruh negeri ini.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kawasan tersebut dikenal pasti bagi membolehkan tindakan khusus dan penguatkuasaan lebih berfokus dilaksanakan bagi membendung gejala berkenaan.
Menurut beliau, antara kawasan yang dikenal pasti termasuklah Bukit Jong, Tebauk, Chendering dan Kampung Baru Serada di Kuala Terengganu, manakala di Kuala Nerus melibatkan kawasan sekitar Bukit Wan serta Jeram Hilir.
"Bagi daerah Marang, kawasan terlibat adalah Kampung Jambu Bongkok, Merchang, Kampung Undang, Kampung Pak Madah dan Kampung Kubu.
"Di Besut pula, kawasan panas meliputi Felda Tenang, Felda Selasih, Kampung Keluang, Kuala Besut (Jeti Perikanan) dan Pulau Perhentian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Mohd Hafiz Adam (Pas-Air Putih) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut mengenai kawasan lain, Muhammad Khalil menjelaskan daerah Kemaman turut mencatatkan senarai panjang melibatkan Bandar Seri Bandi, Tebing Sungai Seberang Tayor Hulu, Kemasik, Pasir Gajah dan Kampung Seberang Tayor.
"Bagi Hulu Terengganu, lokasi dikenal pasti ialah Kampung Tengkawang dan Jeti Pengkalan Gawi. Manakala di Setiu pula melibatkan Felda Chalok Barat, Kampung Merang, Kampung Sungai Tong, Kampung Jelapang dan Kampung Alur Lik.
"Di daerah Dungun pula, tumpuan diberikan kepada kawasan Felda Kerteh 2," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan negeri telah merangka empat tindakan khusus bagi mengurangkan kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah di lokasi-lokasi terbabit.
"Antara langkah yang diambil adalah pemerkasaan kerjasama strategik antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta meningkatkan kekerapan rondaan secara bersepadu.
"Selain itu, sesi dialog awam akan dilaksanakan bagi mendengar suara komuniti setempat mengenai permasalahan ini, selain operasi membanteras secara holistik bersama agensi berkaitan bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan berkesan," katanya.

