Exco: Isu banjir terkepung di Rantau Panjang dapat diatasi jika PLSB siap

5 Mar 2024 • 4:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Isu banjir terkepung yang dialami penduduk di sekitar Rantau Panjang di sini, dijangka dapat diatasi selepas semua fasa pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok disiapkan sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan Datuk Dr Izani Husin (gambar) berkata setakat ini fasa pertama projek berkenaan hampir disiapkan manakala fasa kedua dan ketiga dalam proses tender.

“Kita semua maklum kejadian banjir terkepung yang berlaku pada tahun lepas disebabkan dua faktor iaitu taburan hujan di luar jangkaan dan limpahan air dari Sungai Golok.

“Mengikut pandangan profesional, apabila selesai semua pembinaan benteng ini, kita jangkakan limpahan air dari Sungai Golok tidak lagi berlaku sekali gus mengurangkan kejadian banjir di Rantau Panjang,“ katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad (PAS) pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan Ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Izani berkata pihaknya juga telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina jambatan di kawasan benteng PLSB yang pecah di Kampung Lanchang, di sini, pada 26 Dis tahun lepas.

Beliau berkata alternatif itu dijangka mempercepatkan lagi aliran air keluar berbanding pembinaan terowong.

“Cadangan berkenaan telah dikemukakan kerajaan negeri semasa lawatan Menteri Kerja Raya Datuk Sri Alexander Nanta Linggi ke lokasi berkenaan sebelum ini.

“Jadi kita serah kepada menteri dan profesional untuk mengkaji pelaksanaan pembinaan tersebut,“ katanya.

Pada Disember tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini meluluskan peruntukan segera sebanyak RM6 juta bagi membina terowong air mengatasi banjir di Rantau Panjang termasuk kerja-kerja membaik pulih benteng projek PLSB yang pecah akibat arus deras. -Bernama