AMPANG, 26 DIS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menjual enam produk utama keperluan penduduk bakal bertambah kepada 12 barangan mulai tahun depan.
EXCO pertanian berkata penambahbaikan yang bukan tertumpu kepada produk makanan sahaja bertujuan memudahkan akses penduduk mendapat barangan keperluan sekali gus meringankan beban belanja.
“Program ini menawarkan produk yang lebih murah dari pasaran. Jadi kita tambah enam lagi produk lain dan tidak semuanya merupakan barangan makanan tetapi ia memang diperlukan.

“Dalam masa sama kita juga akan tambah lagi lokasi JER dan membuat beberapa perubahan lain untuk memastikan penduduk sentiasa mendapat manfaat,” kata Dato’ Ir Izham Hashim ketika majlis serahan bantuan Program Agro Bandar dam Kebun Komuniti hari ini.
Wakil rakyat Pandan Indah itu berkata, sepanjang tahun ini kira-kira RM10 juta subsidi ditanggung Kerajaan Negeri bagi melaksana program jualan murah barangan asas berkenaan.
Berlangsung kira-kira di 1,800 lokasi tahun ini selain jualan berskala mega ketika perayaan, program berkenan menjual enam produk utamanya ialah ayam, daging pejal, telur, ikan kembung, minyak masak dan beras.
The post EXCO: Jualan Ehsan Rahmah tawar 12 produk mulai tahun depan appeared first on Selangorkini.
