
SHAH ALAM, 27 JUN: Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Petronas SIC) dimuktamadkan sebagai lokasi rasmi majlis pembukaan kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, maklum EXCO sukan.
Mohd Najwan Halimi berkata keputusan disahkan Sekretariat SUKMA Selangor untuk mencipta suasana kelainan berbanding di stadium sebelum ini dalam temasya dwi tahunan itu.
“SIC akan memberi kelainan dengan mengambil inspirasi daripada upacara pembukaan Olimpik Paris 2024 memandangkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam dijangka siap pada 2027/2028.

“Pemilihan SIC juga bukan sahaja menonjolkan imej Selangor sebagai negeri maju ekonomi dan pentadbiran malah destinasi penganjuran sukan bertaraf dunia,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam perkembangan sama, Mohd Najwan memberitahu persiapan penganjuran berada pada tahap antara 40 hingga 45 peratus dengan jumlah peruntukan RM200 juta.
“Persiapan tertumpu kepada proses membaik pulih dan menaik taraf kemudahan sedia ada di Selangor,” katanya.
Pada 18 Julai lalu, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia memutuskan Selangor bakal menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026.
Ia selepas tawaran dibuat Selangor untuk menggantikan Majlis Sukan Negara (MSN) yang sepatutnya menjadi penganjur berdasarkan sistem giliran tuan rumah SUKMA yang ditetapkan secara berselang-seli.
Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah SUKMA ialah pada 1998 dan muncul juara keseluruhan.

The post EXCO: Litar Antarabangsa Petronas Sepang lokasi pembukaan SUKMA Selangor 2026 appeared first on Selangorkini.

