EXCO: Pendekatan menyeluruh tangani jenayah seksual kanak-kanak di Selangor

4 Aug 2026 • 12:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO: Pendekatan menyeluruh tangani jenayah seksual kanak-kanak di Selangor

SHAH ALAM, 4 OGOS: Sebanyak 1,845 kes rogol membabitkan kanak-kanak direkodkan dari 2021 sehingga tahun lalu sekali gus dianggap sebagai paling serius, kata EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Jumlah kes tertinggi direkodkan pada 2023 dengan 397 kes, diikuti 389 kes (2024), 376 kes (2025), 365 kes (2022) dan 318 kes (2021).

Menurut beliau, kesalahan jenayah kedua tertinggi membabitkan jenayah seksual kanak-kanak ialah kes amang seksual fizikal sebanyak 1,654 kes dalam tempoh sama dan ia meningkat 70 peratus sejak 2021.

“Sementara itu kes amang seksual bukan fizikal sebanyak 156 kes. Memiliki bahan lucah kanak-kanak 42 kes serta menghasilkan atau mengedarkan bahan lucah kanak-kanak 24 kes.

“Peningkatan ini juga meningkat secara konsisten saban tahun. Perkara ini membimbangkan, pun begitu peningkatan bilangan kes ini turut menggambarkan peningkatan kesedaran untuk melapor kes-kes begini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Image from: EXCO: Pendekatan menyeluruh tangani jenayah seksual kanak-kanak di Selangor
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam, pada 3 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu Anfaal memberitahu, peningkatan kes itu adalah panggilan kecemasan kepada wakil rakyat untuk memainkan peranan penting dengan menggesa wakil komuniti supaya lebih peka.

“Saya kira pengamatan Sungai Ramal (ADN Sungai Ramal) berkaitan 20 peratus jenayah seksual kanak kanak berlaku dalam sekolah adalah angka yang sangat merisaukan dan saya rasa perlu kerjasama secara menyeluruh, juga pendekatan kerajaan. Tidak boleh letak tanggungjawab kepada pendidik sahaja.

“Tetapi juga kena libatkan komuniti dan pempengaruh yang sepatutnya menghasilkan kandungan mendidik berbanding manipulasi kanak-kanak sebagai bahan tarikan. Ini adalah panggilan kecemasan kepada kita semua dan wakil rakyat menggalakkan komuniti secara keseluruhan memainkan peranan bersama,” tambahnya ketika sesi soalan tambahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved