
SHAH ALAM, 19 JULAI: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM100,000 bagi kerja pembinaan pagar gelanggang bola keranjang Sepang dekat sini.
Perkara tersebut dimaklumkan EXCO kerajaan tempatan ketika hadir merasmikan satu pertandingan anjuran Persatuan Bola Keranjang Sepang di gelanggang sukan berkenaan.
Ng Sze Han berkata pembinaan itu adalah bagi melindungi kelengkapan gelanggang seperti diminta penduduk.
“Ini merupakan kali kedua saya jejak ke gelanggang ini dan teruja dengan kemeriahan dibanjiri pemain dan penonton.
“Sudah pasti sukan bola keranjang ini satu acara sukan yang dapat menyatukan penduduk kampung di samping melahirkan sebuah komuniti yang sihat dan bertenaga,” katanya menerusi Facebook.
Dalam perkembangan lain, Sze Han turut memaklumkan kerja naik taraf gelanggang bola keranjang Banting dengan kos berjumlah RM230,000.
“Proses itu membolehkan penduduk setempat menjalankan aktiviti sukan dan kegiatan kemasyarakatan tanpa risau cuaca panas serta hujan,” katanya.
Beliau bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato’ Amirul Azizan Abdul Rahim dan Ahli Dewan Negeri Banting Lau Weng San mengambil kesempatan bermain bola keranjang ketika perasmian gelanggang tersebut.
The post EXCO: RM100,000 bagi pembinaan pagar gelanggang bola keranjang Sepang appeared first on Selangorkini.
