Exco Selangor Cadang Tabung Kecemasan Diwujudkan, Bantu Permudah Tuntut Jenazah Di Hospital

LocalPolitics
17 Dec 2024 • 6:15 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Walaupun telah lebih seminggu berlalu, kisah tragis melibatkan bayi lelaki, Muhammad Adham Mikail yang jasadnya ditahan dan dibeku dalam peti sejuk sebuah hospital swasta selama 16 hari masih menjadi bualan hingga ke hari ini.

Hospital swasta itu didakwa bertindak sedemikian selepas bapa lelaki berkenaan dipercayai tidak mampu membayar bil hospital selepas Adham dipercayai meninggal dunia pada 24 November lalu sebelum jasadnya dibekukan.

Kisah anak syurga itu mula mendapat perhatian selepas dikongsikan oleh pihak pengurusan jenazah UKVJ, Wan Cai yang menghadapi kesukaran menguruskan bayi tersebut akibat tindakan hospital berkenaan.

Cadang Wujudkan Tabung Kecemasan Untuk Tuntutan Jenazah

Terbaharu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari mencadangkan agar tabung kecemasan diwujudkan bagi urusan tuntutan jenazah.

Jelas Anfaal, dana tersebut boleh digunakan bagi kes seperti jenazah bayi lelaki yang disimpan di hospital swasta baru-baru ini kerana tunggakan bil.

Selain kes tersebut, pihaknya juga turut menerima kes lain yang lebih kurang sama melibatkan tuntutan jenazah kerana bil yang mencecah RM1,900.

“Jika kes ini berulang, adakah pihak hospital boleh sedia satu dana seperti khairat kematian bagi yang tidak mampu bayar bil kerana ia menjadi fardu kifayah untuk menyegerakan pengurusan jenazah.

“Bagi kuasa zakat di bawah negeri, boleh diwujudkan tabung dana khas yang boleh digunakan penerima bantuan bagi kes kecemasan sama,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Dia berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai insiden tular membabitkan bayi Adham baru-baru ini.

Boleh Dijadikan Polisi KKM Di Hospital Kerajaan & Swasta

Anfaal turut berpendapat cadangan itu juga mungkin boleh dijadikan polisi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di hospital kerajaan dan swasta.

Jelasnya lagi, tabung itu juga boleh diuruskan bersama pihak hospital dan Lembaga Zakat Selangor.

Kerajaan Negeri Serah Kepada Polis Jalankan Siasatan

Pada masa yang sama, Anfaal menjelaskan kerajaan negeri sentiasa mengikuti perkembangan kes tersebut namun menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan.

“Seawal kejadian berlaku, kita cuba hubungi keluarga tetapi dalam keadaan tekanan dan kes mendapat perhatian ramai, mereka belum bersedia untuk ditemui.

“Kerajaan negeri masih menunggu maklumat sahih daripada siasatan pihak berwajib dan memastikan semua maklumat tepat disusuli tindakan lanjut kaunseling selepas pihak polis dan JKM memberi akses laporan itu,” ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan lima orang individu berhubung kes yang tular itu.

Lima individu berkenaan terdiri daripada ibu bapa bayi tersebut, dua doktor dan terbaharu rakan kepada pasangan itu yang menghantar wanita berkenaan ke hospital.

Source: