SHAH ALAM, 10 OKT: Selangor berharap menerima peruntukan lebih tinggi dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata jumlah peruntukan itu seiring pencapaian negeri sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Selangor adalah penyumbang paling tinggi kepada ekonomi negara, kalau diibaratkan seperti kek, Selangor perlu diberikan lebih.
“Antara perkara yang membabitkan kos paling tinggi ialah penyelesaian banjir menerusi pembinaan tebatan, selain pembangunan prasarana untuk masyarakat terpinggir di negeri ini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Konvesyen Perumahan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Setia Alam di sini, hari ini.
Konvesyen tahunan kali ketiga itu turut dihadiri EXCO Kerajaan Tempatan Datuk Ng Suee Lim dan Pengerusi Rehda Selangor Datuk Zaini Yusoff.
Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap Kerajaan Persekutuan menyedia insentif menarik dalam Belanjawan 2025 bagi meneruskan beberapa projek penting pembangunan negeri.
Menurutnya, antara yang disenarai adalah pembangunan sektor semikonduktor, penyambungan projek tebatan banjir, peremajaan semula lapangan terbang Subang serta menaiktaraf beberapa jalan persekutuan.
Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini mengetengahkan tema Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera yang akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi Madani.
The post EXCO: Selangor harap terima peruntukan lebih dalam Belanjawan 2025 appeared first on Selangorkini.


