Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Selangor melaksana pelbagai insiatif bagi menjaga habitat hidupan liar termasuk primat (spesis keluarga monyet, termasuk babun dan beruk), menerusi dua jalinan sekunder.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata usaha tersebut dijalankan bawah Pelan Induk Rangkaian Ekologi Tulang Belakang Hutan 2022 yang bertujuan memelihara koridor hijau dan kemampanan alam.
Beliau berkata, koridor tersebut ialah BSL1, yang menghubungkan Hutan Simpan Raja Muda, Hutan Simpan Bukit Tarek, dan Hutan Simpan Gading, dan BSL2, yang menghubungkan Hutan Simpan Sungai Lalang dan Hutan Simpan Hulu Langat.
“Koridor ini memainkan peranan penting dalam memastikan primat dan hidupan liar lain boleh bergerak bebas di antara kawasan hutan, mengurangkan pemecahan habitat yang disebabkan oleh pembangunan,” katanya, lapor Selangor Journal baru-baru ini.

Sebelum ini, Selangor Journal melaporkan penebangan hutan bagi sektor pertanian, pembalakan dan pembangunan bandar telah mengurangkan habitat hidupan liar termasuk komuniti primat.
Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Sains Biologi Universiti Sains Malaysia (USM) Nadine Ruppert, pemecahan habitat telah mengasingkan populasi primat dan menjadikannya sukar mencari makanan, pasangan dan tempat tinggal sekali gus diancam kepupusan.
Mengulas lanjut, Jamaliah menambah, Kerajaan Selangor melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia melaksana pelbagai langkah strategik bagi mengatasi masalah terbabit.
Jelasnya, antara usaha tersebut adalah memasang papan tanda lintasan hidupan liar di lokasi strategik bagi mengurangkan kemalangan jalan raya, menjalankan program pengayaan habitat serta memulih semula hutan dan pokok asli.
“Usaha ini menekankan komitmen Selangor untuk mengimbangi pembangunan dengan pemuliharaan, memastikan kemampanan jangka panjang habitat semula jadi disamping melindungi populasi primat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Selangor menyasar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus tanahnya sebagai hutan simpan kekal dengan ketika ini hutan simpan kekal meliputi 250,987.12 hektar atau 31.7 peratus.
Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi, daripada 26 spesies primat yang berasal dari Malaysia, 15 spesis kini terancam atau kritikal terancam, lapan spesis terdedah dengan ancaman kepupusan, manakala tiga hampir terancam.

The post EXCO: Selangor laksana pelbagai inisiatif selamatkan habitat hidupan liar appeared first on Selangorkini.

