
SHAH ALAM, 19 JUN: Selangor mempunyai 111 lokasi pusat pengumpulan barangan kitar semula termasuk sisa elektronik (e-sisa), kata EXCO Alam Sekitar.
Jamaliah Jamaluddin berkata, semua lokasi itu melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 35 lokasi sebelum ini.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC) telah mengemas kini pangkalan data pusat kitar semula menerusi platform Lestari Selangor bagi memudahkan akses orang ramai.
“Kerajaan Negeri melalui SCAC telah mengemas kini pangkalan data pusat kitar semula di platform Lestari Selangor.
"Sehingga kini, 111 lokasi pusat pengumpulan barangan kitar semula, termasuk sisa elektronik dikenal pasti,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata semua lokasi berkenaan dipetakan secara digital menerusi laman web Lestari Selangor dan dilengkapi pautan Google Maps serta koordinat GPS.

Katanya, kemudahan itu membolehkan penduduk mencari pusat pengumpulan yang paling hampir dengan lokasi mereka sekali gus memudahkan urusan penghantaran bahan kitar semula.
“Bagi memudahkan masyarakat, semua lokasi ini dipetakan secara digital di laman web Lestari Selangor dengan dilengkapi pautan Google Maps dan koordinat GPS.
“Ciri ini membolehkan penduduk mencari dan menavigasi ke pusat pengumpulan yang paling hampir dengan mereka dengan lebih mudah dan pantas,” katanya.
Dalam pada itu, Jamaliah menggalakkan semua PBT mendaftarkan pusat kitar semula yang berada di bawah pentadbiran masing-masing sebagai pusat atau tempat pengumpulan berdaftar.
Beliau turut meminta penggiat industri menempatkan tong kitar semula sisa elektronik di pusat beli-belah dan pejabat bagi menyertai mekanisme pengurusan yang lebih sistematik serta menyokong agenda kelestarian.
Menurutnya, usaha kolektif melibatkan PBT, industri dan masyarakat mampu meningkatkan jumlah pusat pengumpulan berdaftar selain menambah kutipan sisa elektronik di Selangor sejajar matlamat pembangunan mampan (SDG) dan alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).






