EXCO: Selangor pertimbang makanan percuma untuk pelajar KAFA

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 6:50 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO: Selangor pertimbang makanan percuma untuk pelajar KAFA

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menyediakan makanan percuma kepada pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup.

EXCO Agama Islam Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata langkah itu susulan kenaikan harga bahan api yang memberi kesan kepada kos kehidupan rakyat.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini sedang meneliti cadangan pemberian makanan percuma tersebut selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyalurkan bantuan.

"Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertimbang pemberian percuma kepada pelajar (KAFA) selari hasrat Kerajaan Negeri untuk beri bantuan," katanya.

Image from: EXCO: Selangor pertimbang makanan percuma untuk pelajar KAFA
EXCO Agama Dr Muhammad Fahmi Ngah bercakap kepada media selepas program Cahaya Ramadan DUN Seri Setia anjuran Yayasan Telekom Malaysia (TM) Selangor di Masjid Al-Husna Bandar Sunway, Subang Jaya pada 7 Februari 2026. foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dalam pada itu, berhubung pengurusan jenazah melibatkan surau bukan solat Jumaat, beliau memaklumkan tiada halangan perkara itu dilaksana sekiranya mempunyai petugas berkemahiran.

"Berhubung surau bukan solat Jumaat yang ingin melaksana mandi jenazah untuk kariah, tiada halangan jika ada petugas berkemahiran dan peralatan mencukupi.

"Jika bukan melibatkan ahli kariah berdaftar dengan surau juga boleh asalkan mendapat kebenaran masjid atau kariah lain," ujarnya.