
SHAH ALAM, 8 OGOS: Prinsip “tiada siapa akan terpinggir” terus menjadi panduan utama Kerajaan Negeri dalam merangka Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030, yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, pembasmian kemiskinan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
EXCO Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan serta Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti, Papparaidu Veraman, dalam kenyataan dikeluarkan semalam, berkata pendekatan itu memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat pembangunan tanpa ada yang tercicir daripada arus kemajuan negeri.
Beliau berkata pencapaian Rancangan Selangor Pertama (RS-1) membuktikan dasar inklusif Kerajaan Negeri berada pada landasan tepat apabila pendapatan median isi rumah di Selangor meningkat kepada RM10,726 sebulan, melepasi sasaran asal RM9,290.
Katanya, kadar kemiskinan relatif turut menurun kepada 8.5 peratus, manakala kadar kemiskinan mutlak berkurang daripada 1.7 peratus kepada 0.9 peratus.
“Namun begitu, kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian ini.
“Melalui RS-2, kita menetapkan sasaran lebih tinggi menjelang 2030, iaitu meningkatkan pendapatan median isi rumah kepada RM14,500 sebulan, menurunkan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar 6.1 peratus,” katanya lagi.

Papparaidu berkata sasaran berkenaan akan digerakkan melalui 23 inisiatif di bawah Misi Keempat RS-2 yang menekankan pembangunan modal insan yang produktif, inklusif dan berdaya saing.
Menurutnya, isu ketidakpadanan kemahiran atau skills mismatch menjadi cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan tenaga kerja Selangor benar-benar memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.
Sehubungan itu, penubuhan Majlis Kemahiran Pekerjaan Selangor dilihat sebagai langkah strategik untuk menyelaras keperluan industri dengan institusi pendidikan, penyedia latihan dan pembuat dasar.

“Pada masa sama, cadangan penubuhan Pemerbadanan TVET Selangor akan memperkukuh penyelarasan latihan teknikal dan vokasional melalui STDC agar lebih tersusun, berkualiti serta relevan dengan keperluan ekonomi masa depan,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat, beliau berkata pembangunan bakat perlu digerakkan seiring dengan pengukuhan keusahawanan.
Katanya, melalui program PLATS, Kerajaan Negeri menyasarkan 150,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima latihan, bimbingan, kemahiran digital dan sokongan pengurusan menjelang 2030.

Program GROW dan DANA PLUS pula akan memperluas akses pembiayaan serta pasaran bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan secara lebih mampan.
Dalam aspek pembasmian kemiskinan, Papparaidu berkata pendekatan Kerajaan Negeri kini beralih daripada bantuan semata-mata kepada pemberdayaan ekonomi yang lebih menyeluruh.
Katanya, RS-2 turut memperkenalkan Indeks Kehidupan Bermaruah Selangor bagi menilai keberkesanan program bantuan berdasarkan perubahan sebenar terhadap kehidupan penerima.
“Penerima bantuan yang masih berupaya bekerja akan dipadankan dengan latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan program peningkatan pendapatan supaya mereka mampu keluar daripada kitaran kemiskinan secara mampan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata masyarakat Orang Asli dan komuniti minoriti akan terus diberi perhatian bagi memastikan mereka turut menikmati manfaat pembangunan negeri.
“Ini bermakna masyarakat Orang Asli dan minoriti bukan sahaja menerima bantuan, malah diberikan akses lebih luas kepada pendidikan, latihan kemahiran, peluang pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan ekonomi supaya mereka dapat menikmati kemajuan negeri secara saksama,” katanya.
Papparaidu berkata RS-2 bukan sekadar pelan ekonomi, sebaliknya membina asas kepada Selangor yang lebih adil, inklusif dan berdaya saing.

Katanya, kejayaan pelan itu akan diukur bukan hanya melalui angka pertumbuhan ekonomi, tetapi juga peningkatan pendapatan rakyat, pengurangan kemiskinan, peluang pekerjaan berkualiti serta keupayaan semua lapisan masyarakat menikmati hasil pembangunan secara bersama.
Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan RS-2 yang berhasrat antara lain menjadikan Selangor negeri pertama di Malaysia dengan ekonomi bernilai RM500 bilion, menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat serta merapatkan jurang ekonomi antara semua sembilan daerahnya.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.

