EXCO: Usahawan wanita perlu kuasai digital hadapi ekonomi global

LocalBusiness & Finance
15 Jul 2026 • 8:09 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO: Usahawan wanita perlu kuasai digital hadapi ekonomi global

SHAH ALAM, 15 JULAI: Usaha memperkasa usahawan wanita perlu seiring dengan perubahan zaman bagi memastikan mereka lebih berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata konflik geopolitik di Asia Barat membuktikan ekonomi dunia saling berkait, sekali gus memberi kesan kepada rantaian bekalan dan pasaran, termasuk kepada golongan usahawan.

"Apabila rantaian bekalan terganggu dan pasaran menjadi tidak menentu, golongan usahawan antara yang paling cepat merasai kesannya. Dalam keadaan seperti ini, daya tahan bukan lagi sekadar satu kelebihan tetapi satu keperluan," katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Usahanita Digital 2026 dan Bengkel Latihan Asas anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Image from: EXCO: Usahawan wanita perlu kuasai digital hadapi ekonomi global
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari melawat pameran usahawan selepas majlis Pelancaran Usahanita Digital dan Bengkel Latihan Asas di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 15 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Anfaal, memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan bukan sekadar meningkatkan pendapatan isi rumah, malah melahirkan lebih ramai pencipta peluang pekerjaan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, penguasaan teknologi, pemasaran digital, pengurusan perniagaan yang lebih sistematik serta akses kepada pasaran lebih luas menjadi faktor penting untuk memastikan usahawan wanita terus berdaya saing.

Beliau turut menyambut baik pendekatan baharu Usahanita Digital Kohort 3 yang memperkenalkan Modul Eksport bagi membantu lebih banyak produk usahawan wanita Selangor menembusi pasaran antarabangsa.

Program itu juga diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan Yayasan Hijrah Selangor, Credit Guarantee Corporation (CGC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corporation Malaysia.

Menurutnya, kerjasama tersebut membolehkan peserta memperoleh akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti, khidmat nasihat, jaringan industri serta peluang meneroka pasaran yang lebih luas.

Anfaal turut mengucapkan tahniah kepada semua peserta Usahanita Digital Kohort 3 dan berharap program itu menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan usahawan wanita pada masa hadapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved