EXCO: Whoosh jadi rujukan Selangor bangunkan sistem rel lebih cekap

9 Jul 2026 • 1:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

EXCO: Whoosh jadi rujukan Selangor bangunkan sistem rel lebih cekap

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerajaan Selangor meneliti pengalaman pembangunan dan operasi perkhidmatan rel berkelajuan tinggi Whoosh di Indonesia sebagai rujukan dalam merancang sistem rel yang lebih cekap serta bersepadu di negeri ini.

Exco Mobiliti Ng Sze Han berkata lawatan mobiliti kedua diadakan di ibu pejabat PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) di Halim, Jakarta bagi mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai pembangunan dan operasi Whoosh, perkhidmatan rel berkelajuan tinggi pertama di Indonesia yang menghubungkan Jakarta dan Bandung.

Menurut beliau, delegasi Selangor disambut Presiden Pengarah KCIC, Dwiyana Slamet Riyad yang berkongsi pengalaman mengenai perancangan, pelaksanaan dan operasi projek Whoosh.

“Perbincangan turut menyentuh peranan KCIC dalam membangunkan dan mengendalikan rangkaian rel berkelajuan tinggi selain pelaksanaan pembangunan berorientasikan transit (TOD) bagi menyokong pembangunan bandar dan sistem pengangkutan yang lebih bersepadu.

Image from: EXCO: Whoosh jadi rujukan Selangor bangunkan sistem rel lebih cekap
EXCO Mobiliti Ng Sze Han (dua, kiri) mengadakan perbincangan bersama pengurusan PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) mengenai pembangunan dan operasi perkhidmatan rel berkelajuan tinggi Whoosh di Halim, Jakarta. Foto Facebook Ng Sze Han

“Ia turut merangkumi operasi rel berkelajuan tinggi, integrasi pengangkutan pelbagai mod, pelaksanaan TOD serta aspek tadbir urus dan pembiayaan projek infrastruktur pengangkutan berskala besar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sze Han berkata ketika Selangor meneruskan perancangan Selangor Rail Line, sesi libat urus itu memberikan input berguna berkaitan pembangunan rel, perancangan pengangkutan bersepadu dan mobiliti mampan.

Katanya, pertukaran pandangan tersebut turut membuka ruang untuk membangunkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, saling berhubung dan bersedia memenuhi keperluan masa depan.

Sze Han kini berada di Bandung, Indonesia bagi mengiringi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) @ASEAN yang berlangsung hari ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved