ExecuJet MRO Services Malaysia diperakui Jabatan Penerbangan Awam Aruba untuk selenggara pesawat

23 May 2023 • 5:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

ExecuJet MRO Services Malaysia diperakui Jabatan Penerbangan Awam Aruba untuk selenggara pesawat

diyana

23/05/2023 - 17:53

KUALA LUMPUR 23 Mei - ExecuJet MRO Services Malaysia (ExecuJet) telah menerima perakuan Jabatan Penerbangan Awam Aruba (ADCA) untuk menyelenggara beberapa jenis pesawat berdaftar Aruba.

ADCA yang merupakan pengawal selia penerbangan awam di Caribbean yang mengiktiraf ExecuJet dengan mengesahkan pensijilan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA AS).

Pihak berkuasa Aruba telah memperakui ExecuJet untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan berat pada pesawat Dassault iaitu Falcon 7X, Falcon 8X, Falcon 900 dan Falcon 2000.

Selain itu, Aruba telah meluluskan ExecuJet untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan berat pada Bombardier Challenger 600s, Gulfstream G200, GIV dan siri GV, serta Learjet 45s dan Learjet 60s.

Naib Presiden ExecuJet bagi Asia, Ivan Lim berkata kelulusan tersebut membuktikan syarikat itu bersedia mengembangkan keupayaan dan sokongan kepada pengendali dan pemilik perniagaan pesawat di pasaran seluruh dunia.

image is not available
Ivan Lim

"Pelanggan kami di rantau ini dan mereka yang terbang ke Asia dari tempat lain, boleh bergantung kepada syarikat untuk menyokong pesawat mereka dengan pengalaman pengeluar peralatan tulen (OEM) yang pelbagai, disokong oleh pasukan kakitangan terlatih dan profesional," tambahnya.

Selain FAA dan ADCA AS, ExecuJet MRO Services Malaysia telah diperakui oleh European Union Aviation Safety Agency (EASA), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia serta pengawal selia penerbangan awam lain seperti Bermuda, Kepulauan Cayman, China, Guernsey, Isle of Man, Indonesia, Libya, San Marino , Filipina, Thailand dan Vietnam. -DagangNews.com