EXIM Bank perkukuh integriti kakitangan barisan hadapan

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 4:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Seramai 100 kakitangan EXIM Bank menyertai forum Integriti Dalam Tindakan: Cabaran dan Realiti Menangani Rasuah Hari Ini.

SHAH ALAM - Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) terus mempergiat usaha memperkukuh budaya integriti dalam kalangan kakitangan barisan hadapan menerusi pelaksanaan program tahunan di bawah Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

Ketua Jabatan Pematuhan EXIM Bank, Mohammad Nizam Abdul Samad berkata, inisiatif itu melibatkan 100 kakitangan daripada pelbagai jabatan dengan fokus utama diberikan kepada petugas barisan hadapan yang berurusan secara langsung dengan pelanggan serta jabatan sokongan yang dikenal pasti berisiko.

Menurutnya, pendekatan berasaskan risiko digunakan bagi memastikan usaha pemerkasaan integriti dapat dilaksanakan secara lebih tersasar dan berimpak tinggi.

“Fokus kami adalah kepada jabatan dan kakitangan yang berdepan risiko lebih tinggi dalam tugasan harian, khususnya yang melibatkan interaksi dengan pelanggan.

"Setakat ini, tiada kes rasuah dilaporkan dalam kalangan warga kerja EXIM Bank, namun langkah pencegahan terus diperkukuh secara berterusan melalui pelbagai program kesedaran dan pematuhan," katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program forum bertajuk Integriti Dalam Tindakan: Cabaran dan Realiti Menangani Rasuah Hari Ini.

Forum tersebut disertai tiga panel iaitu Timbalan Pengarah Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Samsul Salip; mantan Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Dr Mohamad Mohan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.

Tambah Mohammad Nizam, antara inisiatif lain yang dilaksanakan organisasi itu termasuk sesi ‘Brown Bag Session’ yang diadakan secara berkala, melibatkan pertemuan bersama kakitangan mengikut jabatan dalam kumpulan kecil.

Ujarnya, pendekatan tersebut membolehkan komunikasi dua hala yang lebih berkesan, selain memberi ruang kepada kakitangan menyuarakan pandangan dan membolehkan pihak pengurusan menangani isu dengan lebih awal.

“Melalui sesi ini, kita dapat memahami cabaran sebenar di peringkat jabatan dan melaksanakan penambahbaikan mengikut keperluan masing-masing,” jelasnya.

Selain itu, program seperti Compliance Carnival dan Ikrar Integriti turut dianjurkan bagi meningkatkan tahap kesedaran serta penghayatan nilai integriti dalam kalangan warga kerja.

Dalam pada itu, beliau berharap segala inisiatif yang dilaksanakan tidak sekadar bersifat program semata-mata, sebaliknya mampu diterjemahkan dalam bentuk perubahan sikap dan budaya kerja harian.

“Kita mahu melihat lebih banyak keberanian dalam kalangan kakitangan untuk melaporkan sebarang salah laku atau cubaan rasuah kepada pihak pematuhan sekali gus memastikan integriti terus menjadi teras dalam setiap operasi,” katanya.

Sementara itu, Nurhayati berkongsi bahawa cabaran dalam membina budaya integriti dalam masyarakat disifatkan sebagai dinamik dan memerlukan perubahan menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada dasar serta prosedur semata-mata.

Ujarnya, sejak 2021 Rasuah Busters ditubuhkan, pelbagai usaha telah digerakkan, namun realitinya masih wujud kekangan besar termasuk normalisasi rasuah dan kekeliruan dalam memahami sempadan antara hadiah, rezeki dan perbuatan salah.

Menurutnya, masyarakat tidak boleh sekadar bergantung kepada polisi atau undang-undang tanpa menghidupkan ‘roh’ integriti dalam pelaksanaan harian.

“Kita ada compliance, kita ada polisi, kita ada undang-undang. Tetapi semua itu hanya ‘form’. Yang penting adalah ‘substance’, iaitu bagaimana nilai dihidupkan dalam tindakan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa antara cabaran utama dari sudut luaran adalah isu ketelusan yang masih bersifat selektif, termasuk dalam aspek pengisytiharan maklumat yang boleh membuka ruang kepada ketirisan serta penyembunyian salah laku.

Selain itu, katanya, kelemahan mekanisme pemantauan bebas turut menjadi halangan apabila organisasi cenderung melakukan penilaian sendiri tanpa semak imbang daripada badan bebas.

“Apabila tiada badan bebas yang benar-benar menilai secara objektif, maka ketelusan itu akan terjejas dan ruang salah guna kuasa tetap wujud,” ujarnya.

Nurhayati turut menekankan kepentingan kebebasan institusi dalam membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak termasuk campur tangan politik atau kepentingan tertentu.

Katanya, elemen seperti nepotisme dan konflik kepentingan sering dianggap remeh, sedangkan ia merupakan bentuk rasuah tidak ketara yang memberi kesan besar kepada integriti sistem.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh cabaran dalaman iaitu normalisasi rasuah dalam kehidupan seharian yang sering berlaku tanpa disedari.

“Kadang-kadang kita rasa kita sudah cukup baik, sedangkan ada perkara yang lebih baik yang perlu kita capai. Musuh kepada kebaikan adalah apabila kita berhenti untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Rasuah Busters turut membuka reruai bersempena forum berkenaan di bangunan EXIM Bank, Kuala Lumpur.