Expressway Jalan Pantai perlu dilaksana atasi kesesakan Melaka- Chee Leong

LocalPolitics
9 Nov 2026 • 2:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Expressway Jalan Pantai perlu dilaksana atasi kesesakan Melaka- Chee Leong
Chee Leong
Image from: Expressway Jalan Pantai perlu dilaksana atasi kesesakan Melaka- Chee Leong
Chee Leong (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk semasa berkempen di sekitar Kota Laksamana.

KOTA MELAKA - Pembinaan lebuh raya atau expressway di Jalan Pantai perlu diberi perhatian oleh kerajaan baharu Melaka bagi membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang sekian lama membelenggu kawasan bandar.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, keadaan jalan raya yang sempit di bandar Melaka menjadi antara faktor yang menyumbang kepada masalah kesesakan, sekali gus memerlukan penyelesaian menerusi perancangan infrastruktur lebih baik.

Menurutnya, kerajaan yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini perlu merealisasikan cadangan pembinaan expressway berkenaan bagi membantu melancarkan pergerakan trafik.

"Kalau kita lihat, asalnya bandar Melaka ini mempunyai jalan yang sempit dan berdepan masalah kesesakan lalu lintas.

"Jadi, saya berharap kerajaan yang dipilih nanti dapat melaksanakan expressway di Jalan Pantai bagi membantu meleraikan masalah kesesakan," katanya ketika ditemui di Kota Laksamana di sini.

Selain isu kesesakan, Chee Leong berkata, masalah banjir kilat turut menjadi fokusnya dalam kempen kali ini, bukan sahaja di kawasan Kota Laksamana, malah sekitar bandar Melaka.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Kota Laksamana sejak 2018 berkata, setakat ini, kempennya berjalan lancar mengikut perancangan dan beliau yakin dengan penerimaan rakyat.

Katanya, usaha mendekati penduduk bukan hanya dilakukan sepanjang tempoh kempen 14 hari, sebaliknya sudah bermula sejak 2018, malah beliau telah hampir 10 tahun berada di kawasan berkenaan.

Ditanya mengenai tekanan sepanjang kempen, Chee Leong berkata, perkara itu bukan kebimbangan besar kerana setiap calon perlu berdepan cabaran tanpa mengira parti.

"Semua cabaran kita kena hadapi, tidak kira daripada mana-mana parti," jelasnya.

Untuk rekod, Chee Leong yang juga calon DAP mewakili PH merupakan penyandang kerusi DUN Kota Laksamana sejak 2018 dan sekali lagi diberi mandat parti untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Melaka ke-16.

Pada PRN kali ini, beliau berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Melvin Chua dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Ethan Lim.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved