F&N Agrivalley terima 2,500 lembu tenusu komersial pertama dari Chile

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2025 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

F&N Agrivalley terima 2,500 lembu tenusu komersial pertama dari Chile

image is not available

15/04/2025 - 14:46

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 April — Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) menerima kumpulan ternakan lembu betina komersial pertama berjumlah 2,500 ekor dari Chile ke ladang tenusunya di Gemas, Negeri Sembilan.


Perkembangan tersebut dilakar beberapa hari sahaja selepas lawatan rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ke ladang bersepadu F&N AgriValley yang berkeluasan 2,726 hektar pada 11 April 2025.


Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, ketibaan kumpulan itu merupakan satu peristiwa bersejarah bagi kejayaan pengimportan terbesar lembu pembiakan dan seterusnya membuka jalan untuk masa depan tenusu Malaysia.


"Peristiwa ini menyaksikan pengimportan sulung dari Chile melibatkan baka Chilean Holstein yang diuji 100 peratus secara genomik dengan ada Indeks Prestasi Keseluruhan Genomik (GTPI)," katanya dalam satu kenyataan.

image is not available


Ia setanding dengan standard prestasi lembu betina yang asalnya dirancang F&N untuk diimport dari Amerika Syarikat (AS) serta dibawa terus dari Santiago melalui kapal pengangkut ternakan dalam pelayaran dirancang teliti.


Sepanjang perjalanan itu katanya, haiwan tersebut berada bawah jagaan pengendali ternakan khas bagi memastikan kesejahteraan lembu berkenaan dengan memantau kesihatan, pemakanan dan keselesaan mereka di atas kapal.


Pengarah Urusan Pertanian dan Ladang Tenusu di F&N, Dr Yap Peng Kang berkata, kapal itu dipasang dengan tahap pengudaraan seperti disyorkan, serta disediakan makanan dan minuman cukup bagi meminimumkan tekanan haiwan.


Ia juga mengekalkan persekitaran optimum dan setibanya di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor, kesemua lembu tersebut diturunkan dengan selamat sebelum dipindahkan ke rumah baharu mereka di F&N AgriValley dalam masa tiga hari.


Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) tambah beliau, turut memastikan lembu betina yang diimport itu telah memenuhi piawaian biosekuriti ketat Malaysia melalui pensijilan kesihatan dan langkah pencegahan penyakit secara rapi.

image is not available


Di samping itu katanya, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) memudahkan proses pengimportan dengan memastikan pematuhan penuh peraturan import ditetapkan oleh pihak berkuasa negara ini.


Gabungan kepakaran kesemua agensi terbabit jelas beliau, telah memainkan peranan yang penting dalam menjaga kesihatan lembu-lembu betina berkenaan dan memastikan kejayaan usaha pengimportan F&N buat julung kali itu.


Haiwan tersebut katanya, telah selamat ditempatkan di dalam bangsal terkini F&N AgriValley yang dilengkapi dengan sistem kawalan persekitaran pintar untuk memberi keselesaan optimum bagi kehidupan ternakan berkenaan.


"Demi memastikan komitmen terhadap piawaian kesihatan ternakan dan biosekuriti tinggi, saya berbesar hati berkongsi berita yang lembu-lembu itu berada dalam keadaan sihat dan kini menjalani tempoh kuarantin wajib," katanya.


Proses itu jelasnya, dilaksanakan dalam fasiliti kuarantin di tapak ternakan terbesar di negara ini yang direka mampu menempatkan kira-kira 20,000 ekor lembu dengan penghasilan 200 juta liter susu segar setahun. - DagangNews.com

standard