F&N kembali fokus sepenuhnya kepada perniagaan F&B selepas pelupusan pegangan ekuiti dalam Vacaron, kata penganalisis

26/09/2025 - 16:00
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Sept - Langkah Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) melupuskan 50% pegangan ekuitinya dalam Vacaron Company Sdn Bhd bernilai RM180 juta sebagai positif, kerana ia memberi peluang kepada kumpulan untuk fokus sepenuhnya kepada perniagaan teras susu serta makanan dan minuman (F&B), kata penganalisis.
MBSB Research berkata, pelupusan dijangka menjana keuntungan kira-kira RM83.2 juta serta meningkatkan kecairan syarikat, sekali gus memberikan keyakinan yang lebih jelas kepada para pelabur.
Katanya, hasil pelupusan akan digunakan semula untuk mengukuhkan operasi makanan, minuman dan tenusu, khususnya ladang tenusu bersepadu di Gemas yang menjadi projek strategik kumpulan ke arah sara diri susu segar dan pertumbuhan tenusu serantau.
"Langkah ini juga membolehkan F&N mengurangkan pendedahan terhadap risiko pembangunan hartanah, sebaliknya mempercepat pelaburan bagi memperkukuh rantaian bekalan, meningkatkan kecekapan operasi dan mendorong inovasi produk.
"Pertumbuhan jangka panjang F&N dijangka terus disokong permintaan kukuh terhadap minuman dan makanan asas, di samping potensi struktur daripada projek ladang tenusu bersepadu di Gemas.
"Pihak pengurusan memaklumkan pelupusan tersebut tidak akan memberi kesan kepada nisbah hutang F&N yang kini berada pada paras 22.2%," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu, TA Securities juga berpendapat, harga pelupusan itu adalah wajar berdasarkan 50% daripada nilai aset bersih (NAV) terlaras Vacaron dengan tanah tersebut dinilai secara bebas pada RM360 juta oleh Henry Butcher Malaysia.
Katanya, ia bagi memastikan langkah penjanaan wang bukan sahaja dibuat pada masa yang tepat, malah munasabah dari sudut penilaian.
"Sementara itu, kami percaya penjanaan wang daripada aset bukan teras adalah langkah yang tepat pada masanya dan bijak dari perspektif pengurusan kunci kira-kira," katanya.
Kedudukan tunai bersih F&N susut kepada RM147.2 juta setakat 3QFY25, berbanding RM428.9 juta pada FY24 disebabkan pelaburan awal dalam projek ternakan tenusu serta keperluan modal kerja yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, keuntungan daripada pelupusan itu dijangka dapat mengukuhkan kecairan kumpulan, sekali gus mengekalkan fleksibiliti kewangan untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang dan potensi pelaburan semula.- DagangNews.com
standard
