Lelaki mati di lokap Bentong negatif Covid-19

7 Apr 2020 • 1:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUANTAN - Lelaki berusia 30 tahun yang meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong dipercayai akibat sesak nafas dua hari lepas disahkan negatif koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis berkata, ujian pengesahan Covid-19 dilakukan di Hospital Bentong semalam dan keputusan negatif itu membolehkan bedah siasat dijalankan terhadap mayat pemuda itu untuk memastikan sebab kematian.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik dari Hospital Tengku Ampuan Afzan lewat petang semalam di Hospital Bentong dan mayat lelaki itu diserah kepada keluarganya selepas proses bedah siasat selesai.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian tidak dapat ditentukan dan kami menunggu keputusan analisis toksikologi oleh Jabatan Kimia serta analisa sampel tisu badan oleh pihak patologi.

"Buat masa ini, kes masih diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan lelaki yang ditangkap pada 2 April lalu untuk membantu siasatan kes curi itu meninggal dunia pada jam 1.10 pagi Ahad lalu selepas mengalami sesak nafas kira-kira 20 minit sebelum itu.

Yusof berkata, pihaknya telah mengambil tindakan mengasingkan tahanan daripada sel yang sama dengan lelaki terbabit selepas kejadian itu sebagai langkah berwaspada terhadap penularan Covid-19. - Bernama




View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved