Peluang angkasawan asing sertai misi NASA ke bulan

22 Oct 2019 • 8:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

WASHINGTON - Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) berhasrat untuk kembali ke bulan dan kali ini ia membuka peluang untuk penyertaan antarabangsa.

"Saya fikir terdapat banyak 'ruang' di bulan dan kami mahu mengajak semua rakan antarabangsa kami untuk bersama-sama dalam misi tersebut," kata Jim Bridenstine yang merupakan pentadbir agensi angkasa global tersebut semalam.

Amerika Syarikat (AS) kini sedang membina kapal angkasa Orion dan stesen angkasa mini digelar Gateway yang akan ditempatkan di orbit bulan untuk misi kru pertama, Artemis 3 pada 2024.

Difahamkan, modul perkhidmatan Orion yang akan membekalkan kuasa elektrik, sistem pendorongan, kawalan udara panas, air dan udara di angkasa akan disediakan oleh Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Angkasawan bukan warga AS dibenarkan untuk menyertai misi tersebut apabila Gateway diperluaskan.

Sementara itu, Ketua ESA, Jan Worner memaklumkan mereka sedang berbincang dengan NASA untuk menempatkan angkasawan Eropah di permukaan bulan.

"2024 pasti hanya dimonopoli angkasawan AS. Kami mungkin mendapat peluang itu pada 2027 atau 2028," ujarnya.

Selain Eropah, Jepun juga mahu mengambil peluang program baharu AS itu untuk menulis bab baharu dalam sejarah mereka.

"Ia adalah jawapan mudah kepada saya kerana kami memang berhasrat untuk menghantar angkasawan Jepun ke bulan," menurut Presiden Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA). - Agensi


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved