Tiga lagi positif jangkitan Covid-19 di Singapura, jumlah terkini 75

16 Feb 2020 • 11:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan tiga lagi kes positif jangkitan Covid-19 di negara republik itu, menjadikan jumlahnya kini adalah 75.

Menurutnya daripada jumlah ini, dua dikaitkan dengan kluster di gereja Grace Assembly of God dan satu lagi dikaitkan dengan kes ke-41, seorang lelaki warga emas warga Singapura berumur 71 tahun yang disahkan positif pada 8 Februari.

"Ketiga-tiga mereka adalah warga Singapura dan tiada rekod perjalanan ke China,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan perkembangan terbaharu, 18 daripada kes itu kini dikaitkan kepada gereja Grace Assembly of God.

Satu daripada dua kes yang dikaitkan dengan kluster di gereja Grace Assembly of God melibatkan seorang petugas tetap Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) berumur 43 tahun, yang tidak lagi ke tempat kerja sejak mengalami simptom.

Petugas yang tinggal di Lorong 8 Toa Payoh itu dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan kes ke-51, lelaki Singapura berumur 48 tahun yang tiada rekod perjalanan baru-baru ini ke China.

MOH berkata, sehingga kini, lima kes telah dikaitkan dengan gereja The Life Church and Missions Singapore, sembilan mempunyai kaitan dengan kluster yang dikaitkan dengan kedai ubat Yong Thai Hang, tiga dengan mesyuarat tertutup perniagaan di Grand Hyatt Singapore, dan lima dikaitkan dengan tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights.

Dalam mengemaskini keadaan kes yang disahkan, MOH berkata, sejumlah 19 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital.

Daripada 56 kes disahkan yang masih di hospital, kebanyakan dalam keadaan stabil atau semakin bertambah baik manakala lima dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di unit rawatan rapi, menurut kenyataan itu. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved