Fabinho tinggalkan Liverpool untuk sertai Al-Ittihad

Football
1 Aug 2023 • 5:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

LONDON: Fabinho melengkapkan perpindahannya dari Liverpool ke Al-Ittihad, pembelian yang disahkan kelab Liga Pro Saudi itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pemain Brazil itu menjadi pemain Liverpool kedua bermain di kelab Arab Saudi berikutan perpindahan Jordan Henderson ke Al-Ettifaq.

Dalam mesej perpisahan yang disiarkan di media sosial, Fabinho menulis: “Hari ini saya meninggalkan rumah saya.

“Sudah lima tahun menyarung jersi ini dan sentiasa dengan penghormatan dan kebahagiaan sebesar mungkin.”

Fabinho juga merupakan nama besar terbaharu menyertai Al-Ittihad, mengikuti pemain seperti bekas bintang Real Madrid, Karim Benzema dan bekas pemain Chelsea dan Leicester N’Golo Kante.

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai Liverpool dari Monaco pada 2018 dan menikmati kerjaya cemerlang di Merseyside, memenangi gelaran Liga Juara-Juara dan Liga Perdana, serta Piala FA dan Piala Dunia Kelab.

“Terima kasih kepada Liverpool, saya mencapai tahap tertinggi dan bermain Piala Dunia. Terima kasih kepada Liverpool, saya memenuhi impian saya untuk berjalan ke stadium dengan anak saya dalam pelukan.

“Terima kasih kepada Liverpool, saya bermain di stadium terbaik di dunia, dengan suasana terbaik di dunia, iaitu Anfield.

“Terima kasih Liverpool, saya mengharungi perlawanan terbesar dalam hidup saya, kebangkitan semula menentang Barcelona, yang hanya boleh dilakukan berkat Anfield. Saat itu akan sentiasa dalam ingatan saya.

“Saya sayangkan kelab ini. Terima kasih Reds, untuk semua yang kami alami bersama. Anda tidak akan pernah berjalan sendirian,“ kata Fabinho. -Bernama