Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok Menguasai Lebih 90% Pengiklanan Di Media Sosial.

TechnologyBusiness & Finance
15 Apr 2026 • 10:35 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Adakah anda merasakan platform media sosial sekarang dipenuhi lebih banyak iklan berbanding muat naik daripada rakan taulan saudara mara serta keluarga? Ini bukan sekadar perasaan anda kerana hakikatnya media sosial moden kini ialah papan iklan infiniti yang kandungannya dirodok masuk ke dalam mata secara paksa.

Image from: Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok Menguasai Lebih 90% Pengiklanan Di Media Sosial.

Menurut laporan Omdia minggu ini, empat platform media sosial utama iaitu Facebook, Instagram, YouTube dan TikTok menguasai lebih 90% hasil pengiklan media sosial. Daripada potongan pai ini, Meta mengambil 70% daripadanya menjadikan mereka platform pengiklanan media sosial terbesar dunia.

Walaupun ekonomi dunia sedang bergolak dan peperangan mewujudkan krisis kuasa, pengiklanan media sosial masih dijangka berkembang 19% pada 2026. Menjelang 2030, jumlah perbelanjaan iklan global dijangka melepasi $1.6 trilion, dengan $1.5 trilion daripadanya datang daripada iklan atas talian.

Iklan video media sosial dijangka menyumbang 40% daripada hasil TV serta video global menjelang 2030. Iklan menerusi TV pintar dijangka mengatasi iklan TV tradisional pada 2030-an, dipacu oleh pemain besar seperti Amazon, Netflix dan Google. Penyiar tradisional terus kehilangan bahagian pasaran, jatuh daripada 43% (2020) kepada 25% (2030).

Jadi sekiranya anda bertanya mengapa iklan di media sosial semakin meningkat, iklan di YouTube semakin panjang dan ramai anak-anak muda ingin menjadi pempengaruh di seluruh dunia, jawapannya mudah. Media sosial ialah platform dengan belanjawan pengiklanan terbesar dan sekiranya ingin mengaut keuntungan di situlah anda perlu berada.