Facundo Garces masih selamat

Football
10 Nov 2025 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Garces

DEPORTIVO Alaves tidak akan terburu-buru membuat keputusan berhubung masa depan pertahanan mereka, Facundo Garces yang juga pemain warisan Harimau Malaya selepas dikenakan hukuman penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden kelab, Alfonso Fernandez menegaskan bahawa pihaknya akan terus memberikan ruang kepada pemain berusia 25 tahun itu untuk melalui proses undang-undang bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.

Menurut Fernandez, pihak kelab menghormati prinsip andaian tidak bersalah dan menyerahkan sepenuhnya kepada tindakan selanjutnya di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Pada akhirnya, ini adalah perkara yang berada di luar kawalan kelab dan ia merupakan isu peribadi miliknya. Namun, sudah tentu ia memberi kesan kepada kami kerana kami tidak dapat menurunkannya.

“Kes ini masih terbuka dan buat masa ini tiada apa-apa yang berubah bagi pihak kami. Selagi belum ada keputusan muktamad, beliau masih mempunyai hak untuk membuat rayuan.

“Kami tetap percaya kepada pemain itu dan kepada prinsip andaian tidak bersalahnya. Kita akan lihat bagaimana perkembangan seterusnya dan menunggu keputusan akhir,” katanya.

Terdahulu, FIFA telah menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan.

Dalam keputusan yang diumumkan baru-baru ini, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Selain Garces, enam lagi pemain yang terlibat ialah Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

FAM sedang meneliti langkah terbaik termasuk kemungkinan membawa kes tersebut ke CAS bagi memastikan keadilan berpihak kepada semua pemain yang terlibat.

Sebelum ini, dilaporkan Gabriel Palmero menjadi pemain warisan pertama yang ditamatkan kontrak oleh kelabnya, CD Tenerife selepas hukuman FIFA tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved