
PETALING JAYA: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menutup sekolah apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 selepas mengambil kira pandangan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, isu jerebu bukan sekadar soal sekolah dibuka atau ditutup sebaliknya ia melibatkan hal-hal berkaitan kesihatan, alam sekitar dan pengurusan bencana.
Katanya, setiap kementerian, agensi dan jabatan mempunyai kepakaran dan tanggungjawabnya tersendiri dalam menguruskan hal-hal tersebut.
“KPM ini bidangnya pendidikan. Kalau soal kesihatan, kita ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kalau hendak tahu keadaan udara, kita ada Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kalau soal pengurusan bencana, kita ada Nadma. Masing-masing ada pakar dan tanggungjawab mereka.
“Sebab itu saya panggil semula agensi-agensi berkaitan untuk duduk semeja. Kita perlu melihat semula keputusan ini dengan mendapatkan pandangan mereka yang lebih arif.
“Dalam perbincangan itu, kita turut mengambil kira pandangan Nadma bahawa pengurusan jerebu negara perlu berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK). Selepas mengambil kira pandangan agensi berkaitan, KPM memutuskan untuk kembali menggunakan ketetapan dalam PTJK,” katanya dalam satu hantaran di Facebook milik nya hari ini.
Beliau berkata, ramai pihak menyuarakan persoalan kenapa sekolah ditutup ditutup sebelum ini sedangkan IPU masih rendah namun kini tiba-tiba KPM mengubah pendirian untuk bertindak sedemikian apabila IPU melebihi 200.
Katanya, apabila Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan kebimbangan tentang keadaan jerebu, pihaknya mengambil keprihatinan tuanku dengan serius dan berhati-hati.
Tambahnya, pelbagai pandangan diberikan oleh ibu bapa berhubung tindakan penutupan sekolah tersebut namun keputusan dibuat KPM perlu mempertimbangkan pelbagai perkara khususnya melibatkan kemaslahatan jutaan murid.
“Mungkin ada yang tanya, kenapa pula hendak ikut pelan ini? Kenapa tak kekalkan saja IPU yang lebih rendah? Bukankah lagi rendah, lagi selamat? Saya faham logik itu. Lagipun, bacaan IPU 150 memang sudah berada dalam kategori tidak sihat. Kebimbangan ibu bapa pada tahap itu memang berasas.
“Cuma ada satu perkara yang penting untuk kita faham. Dalam menguruskan jerebu, setiap tahap bacaan IPU ada tindakan yang perlu diambil. Kita tak boleh anggap semua tahap risiko memerlukan tindakan yang sama.
“Contohnya, apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Anak-anak tak perlu keluar untuk bersukan atau buat aktiviti di padang. Langkah ini untuk mengurangkan pendedahan kepada jerebu, walaupun risiko kesihatan masih ada. Apabila IPU mencecah 200, sekolah ditutup serta-merta,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengurusan jerebu negara adalah berpandukan PTJK namun KPM memberikan kelonggaran kepada murid yang mempunyai masalah kesihatan dengan membenarkan ibu bapa tidak menghantar mereka ke sekolah.
“Saya tahu bagi ibu bapa kesihatan anak-anak bukan perkara yang boleh dikompromi. Saya pun melihatnya begitu. Namun, kita juga ada tanggungjawab memastikan mereka tidak terus kehilangan masa belajar.
“Pengalaman kita ketika PKP dahulu cukup mengajar betapa sukarnya untuk mendapatkan semula pembelajaran yang tertinggal. Saya faham tidak semua orang akan bersetuju dengan setiap keputusan.
“Apa yang boleh dipastikan, setiap kebimbangan akan terus didengar dan keputusan akan dibuat dengan merujuk mereka yang mempunyai kepakaran,” katanya. – UTUSAN
The post Fadhlina perjelas kenapa IPU 200 baru sekolah tutup appeared first on Utusan Malaysia.






