Fadhlina Sidek tegas kes Zara Qairina jadi fokus KPM

LocalPolitics
14 Aug 2025 • 10:17 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir, menjadi perhatian utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan komitmen memastikan kebenaran serta keadilan dapat ditegakkan.

Beliau berkata, pihaknya menerima memorandum #KeadilanUntukZara daripada penganjur himpunan aman di Taman Tugu dan Pintu Utama Parlimen Malaysia pada 12 Ogos lalu, yang membawa empat tuntutan khusus kepada KPM berkaitan isu buli.

Baca juga:

Empat tuntutan #KeadilanUntukZara

Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk reformasi menyeluruh sistem pendidikan berkaitan isu buli, sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil, latihan mandatori kepada guru serta warden dan penjelasan terbuka kepada masyarakat.

“KPM telah mengambil beberapa langkah termasuk audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, tindakan tegas gantung atau buang sekolah terhadap pelaku, serta memperkukuh sokongan psikososial di semua peringkat,” katanya.

Audit keselamatan & tindakan tegas

Beliau berkata, kementerian juga bersetuju melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan, memperkukuh latihan intervensi krisis dan pengurusan emosi pelajar, selain memberi kerjasama penuh kepada pasukan petugas khas polis yang menyiasat kes Zara Qairina.

“Kes ini sememangnya menjadi perhatian utama Kementerian. Saya meletakkan seluruh harapan supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” tegas Fadhlina dalam hantaran di Facebook.

Katanya, perkembangan siasatan akan dimaklumkan oleh polis dari semasa ke semasa dan KPM akan terus memantau bagi memastikan keselamatan pelajar menjadi keutamaan di semua sekolah di bawah kelolaannya.