Fadillah Terima Anugerah Felo Kehormat IEM

16 Jul 2023 • 12:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fadillah Yusof - gambar fail

PETALING JAYA -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini dikurniakan Anugerah Felo Kehormat Institusi Jurutera Malaysia (IEM).

Beliau menerima anugerah itu bersama-sama Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Zairil Khir Johari pada Majlis Makan Malam Tahunan ke-64 dan Anugerah IEM 2023 di sebuah hotel di sini malam semalam.

Anugerah itu diberikan oleh IEM kepada individu terbilang yang diiktiraf terkemuka serta menjadi teladan yang telah memberikan sumbangan besar dan perkhidmatan cemerlang kepada profesion kejuruteraan negara.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkata jurutera adalah pengerak utama pembinaan negara Malaysia yang bertindak sebagai pemangkin dan pelaksana pembangunan Infrastruktur serta ekonomi.

Beliau berkata peranan jurutera dan IEM amat penting ketika negara berusaha mencapai status negara maju.

Justeru, semua pihak yang terlibat digesa agar mengutamakan kelestarian dalam sektor pembinaan dengan memberi penekanan kepada pelaksanaan projek mengikut piawaian Alam Sekitar, Sosial serta Tadbir Urus (ESG) dan pematuhannya akan menyelaras sektor itu dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Ini akan meningkatkan keupayaan dan kapasiti kita untuk mewujudkan persekitaran yang dibina secara mampan dan kerjasama yang lebih kukuh antara pihak industri dan agensi kerajaan,” katanya.  -- BERNAMA