Fadlan Hazim jalani latihan komando demi watak watak Sarjan Apot dalam Takluk 2: Op Daulat

Movie
22 Oct 2026 • 3:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Fadlan Hazim jalani latihan komando demi watak watak Sarjan Apot dalam Takluk 2: Op Daulat
Fadlan Hazim bergambar selepas ditemu bual Bernama pada Majlis Soft Launch Filem Takluk 2: Op Daulat di Wisma Pertahanan, baru-baru ini. Foto: Bernama
Image from: Fadlan Hazim jalani latihan komando demi watak watak Sarjan Apot dalam Takluk 2: Op Daulat
Pelakon, Datuk Eman Manan bergambar selepas ditemu bual Bernama pada Majlis Soft Launch Filem Takluk 2: Op Daulat di Wisma Pertahanan baru-baru ini. Foto: Bernama

MENJALANI latihan selama 24 jam bersama-sama dengan anggota VAT 69 Komando menjadi antara persediaan penting pelakon, Fadlan Hazim dalam menjayakan watak Sarjan Apot bagi filem aksi ketenteraan Takluk 2: Op Daulat.

Fadlan, atau nama penuhnya Fadlan Hazim Anuwar, 34, berkata, latihan itu memberinya gambaran lebih dekat tuntutan fizikal dan disiplin yang perlu dimiliki anggota komando, sekali gus membantu beliau membawakan watak berkenaan dengan lebih realistik.

Katanya, antara cabaran yang dihadapinya ialah menyesuaikan diri dengan kelengkapan tempur yang berat seperti topi keselamatan dan rompi perisai mencecah10 kilogram, selain mengendalikan senjata dan mempelajari teknik menembak.

"Kalau hendak dibandingkan dengan latihan sebenar mereka, saya anggarkan latihan yang saya lalui hanya sekitar 60 peratus. Itu pun sudah cukup mencabar dari segi kecergasan fizikal. Jadi saya memang respect (hormat) dengan anggota ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis prapelancaran Takluk 2: Op Daulat di Wisma Pertahanan, baru-baru ini.

Pengalaman itu turut membuka matanya terhadap ketahanan dan pengorbanan anggota keselamatan, terutama apabila menyaksikan sendiri mereka bertugas sepanjang penggambaran yang berlangsung hingga 16 jam sehari.

Menurut Fadlan Hazim, berbeza dengan pelakon yang mempunyai ruang untuk berehat apabila penat, anggota komando dan tentera yang bersama-sama mereka di lokasi penggambaran perlu terus bersedia menjalankan tugas.

"Dari situ, saya lebih menghargai ketahanan dan pengorbanan mereka untuk negara sebab perkara itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Dalam membentuk perwatakan Sarjan Apot, beliau turut menjadikan arwah datuknya, seorang anggota tentera berpangkat sarjan, sebagai sumber inspirasi yang disifatkannya sebagai tegas dalam tugas tetapi lembut terhadap keluarga.

**media[3686118]**

Sementara itu, pelakon veteran, Datuk Eman Manan berkata persediaan untuk menghidupkan sesuatu watak bukan sekadar bergantung pada kemampuan fizikal, tetapi turut memerlukan pengetahuan dan pemahaman mendalam terhadap karakter berkenaan.

Beliau berkata, aspek intelektual, emosi dan fizikal perlu bergerak seiring bagi memastikan penghayatan dapat disampaikan dengan berkesan kepada penonton.

Filem arahan Zulkarnain Azhar itu diinspirasikan daripada insiden pencerobohan Lahad Datu dan Operasi Daulat pada 2013, yang menyaksikan pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara dan merupakan kesinambungan filem Takluk: Lahad Datu yang ditayangkan pada 2024.

Filem Takluk 2: Op Daulat dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 26 November ini, turut menampilkan Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli dan Sara Ali. - Bernama

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved