Fadlun dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuatkuasa 15 November

LocalPolitics
14 Nov 2025 • 10:15 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuat kuasa esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Fadlun, 58, yang merupakan Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022 akan menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang menamatkan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur hari ini dan akan bertugas sebagai Penasihat Hartanah Petronas mulai Isnin depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Fadlun, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Saya yakin dengan pelantikan ini, beliau akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.

“Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai Madani,’’ kata Dr Zaliha.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Maimunah kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang telah banyak memperluas reputasi Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.

“Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan terkini beliau sebagai Penasihat Hartanah Petronas dan percaya pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara,’’ katanya.

Fadlun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.

Dalam tempoh tersebut, kata Dr. Zaliha, beliau telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.

Fadlun juga adalah merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia dan aktif dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh. - 14 November, 2025

The post Fadlun dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur berkuatkuasa 15 November appeared first on Scoop.