Faedah pelaburan sejak Covid RM33 bilion: KM

13 Apr 2023 • 3:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KERAJAAN Negeri meluluskan pelaburan bernilai RM11.5 bilion membabitkan 89 projek yang menjana kira-kira 4,566 pekerjaan sejak penularan pandemik Covid-19 sehingga tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Bagaimanapun, ini tidak termasuk projek Keluli Hijau Bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) yang ditandatangani pada November 2022.

“Dengan projek Keluli Hijau ini dan pelaburan lain dalam proses pelaksanaan, Sabah akan menerima sejumlah RM33.4 bilion,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Pihak Berkuasa Kemajuan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) di Shangri-La’s Rasa Ria Resort, Tuaran, pada 3 April.

Hajiji, yang juga Pengerusi Sedia, berkata daripada RM11.5 bilion itu, RM9.2 bilion adalah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan RM2.3 bilion lagi adalah pelaburan domestik.

Hajiji berkata 72.9 peratus daripada pelaburan atau RM8.4 bilion adalah dalam sektor pembuatan, manakala RM1.6 bilion dalam sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan, dan dalam sektor perkhidmatan, RM1.5 bilion.

Pelaburan ini adalah usaha terkumpul Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, Sedia serta agensi berkaitan lain, katanya.

Kini selepas Sedia secara langsung berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, Ketua Menteri mahu semua permohonan dan pelaksanaan projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) diselaraskan dengan lebih baik dengan garis masa yang ditetapkan dan semua prosedur dipatuhi.

Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi pada 26 Feb 2023, yang akan membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan miskin tegar dan golongan berpendapatan B40 melalui program seperti Usahawan Tani (Intan), Usahawan Makanan (Insan) dan Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

Kemudiannya, Ketua Menteri menghadiri majlis

berbuka puasa bersama ahli lembaga Sedia serta 100 anak yatim dan pelajar dari empat rumah dan pusat Tahfiz

di Tuaran, iaitu HOME Tuaran, Maahad Tahfiz Assohabah, Tarbiyatun Nisa, dan Pusat Tahfiz Al-Quran Ash-Shabab Al-Mardhiyah di mana beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Safar Untong, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Dato Nor Azmie Diron, Peguam Besar Negeri Nor Asiah Mohd Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Sofian Alfian Nair, Ketua Pegawai Eksekutif Sedia Datuk Seri Hashim Paijan, ketua-ketua jabatan dan ahli lembaga Sedia.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.