Fahami Dengan Jelas MA63, Elakkan Salah Tanggapan Pada Sabah Dan Sarawak - Abang Jo

LocalPolitics
16 Jan 2026 • 4:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu difahami dengan jelas oleh semua pihak, sebelum mereka membuat sebarang tanggapan atau andaian tidak tepat mengenai Sabah dan Sarawak. 

Menegaskan perkara itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mutakhir ini masih banyak pihak, termasuk di Semenanjung tidak memahami struktur Perlembagaan Malaysia, khususnya yang melibatkan hak Sarawak. 

Menurut beliau, MA63 bukan sekadar perjanjian politik untuk parti tertentu, tetapi ia adalah dokumen perundangan yang sah di peringkat antarabangsa.

Katanya, hak dan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak tidak boleh dinafikan kerana ia dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hak ini tidak boleh dipertikai atau dipadamkan sewenang-wenangnya kerana ia merupakan dokumen antarabangsa yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Jika generasi baharu tidak mengetahui sejarah ini, bagaimana mereka akan memahami mengapa Sarawak dan Sabah mempunyai hak tertentu? Kita tidak mahu Perlembagaan dipinda dan hak itu dinafikan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sesi Townhall 9 Tahun Bersama Premier di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, tarikh kemerdekaan Sarawak jika mengikut perancangan asal adalah pada 31 Ogos, namun bantahan dan semakan terpaksa dilakukan oleh PBB selepas beberapa isu dibangkitkan Filipina dan Indonesia. 

Jelasnya, ia membawa kepada penangguhan pembentukan Malaysia yang akhirnya berlangsung pada 16 September.

“Ini membuktikan bahawa MA63 melalui proses antarabangsa yang sah,” katanya.

Beliau menarik perhatian, Malaysia hanya akan menjadi sebuah negara yang kuat jika seluruh rakyat memahami sejarah, struktur Perlembagaan dan asas sebenar pembentukan Persekutuan Malaysia, termasuk kedudukan dan hak Sarawak seperti yang dijamin di bawah MA63.

Abang Johari memberitahu, Sabah dan Sarawak sejak awal pembentukan Malaysia telah diiktiraf sebagai rakan pengasas, justeru pegangan satu pertiga untuk mereka wajar dikekalkan demi melindungi masa depan negara.

Mengulas lanjut beliau berkata, Kanun Tanah Negara misalnya, tidak mencakupi hal ehwal tanah Sarawak.

“Di Semenanjung ada Kanun Tanah Negara, tetapi Sarawak mempunyai Kanun Tanah Sarawak sendiri. Kita berdikari dari segi urusan tanah. 

“Apa yang terpakai di Malaya tidak semestinya terpakai di Sarawak. Ini adalah sejarah dan peruntukan khusus,” katanya. 

Turut hadir pada sesi Townhall itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; dua Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian. - Getaran, 16 Januari 2026