Fahmi Fadzil: Kerajaan Tidak Akan Menguatkuasa Had Umur Untuk Mengakses Media Sosial

TechnologyDigital
23 Jan 2025 • 4:56 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Beberapa negara seperti Australia dan Indonesia sudahpun mula memperkenalkan had umur minima sebelum mereka dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan media sosial seperti Facebook, Instagram, X dan sebagainya untuk memastikan mereka yang masih dibawah umur tidak terpengaruh dengan kandungan negatif yang sering diperlihatkan di platform-platform tersebut.

Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil baru-baru ini telah ditanya sekiranya kerajaan Malaysia akan bertindak untuk menguatkuasakan had umur pengguna media sosial ini, khususnya apabila mereka juga telah mula mewajibkan platform-platform media sosial untuk mendaftar lesen beroperasi.

Beliau mengesahkan bahawa buat masa ini, kerajaan Malaysia tidak mempunyai pelan untuk memperkenalkan had umur ini. Sebaliknya, mereka akan mengambil pendekatan yang lebih sederhana, dan akan menangani isu seperti keselamatan digital dan atas talian untuk anak-anak menggunakan pertimbangan latar belakang sosio-ekonomi rakyat dan undang-undang sedia ada tanpa memerlukan langkah-langkah drastik.

Ini boleh dilihat sebagai pusingan 180 darjah daripada kenyataan yang dikeluarkan olehnya pada bulan lepas yang mengatakan bahawa SKMM akan memantau had umur pengguna platform sosial media bermula Januari 2025, dan juga telah mengemaskini draf kod tatalaku platform perkhidmatan media sosial di Malaysia dengan menambahkan klausa berkenaan had umur pengguna platform-platform tersebut.