Berikutan keputusan aplikasi permesejan atas-talian Telegram untuk bekerjasama dengan pelbagai kerajaan, khususnya Perancis untuk menangani peningkatan kumpulan-kumpulan jenayah yang menggunakan platform tersebut sebagai cara untuk berkomunikasi, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil telah mengesahkan bahawa perkara sama juga sedang dilakukan di Malaysia.
Beliau mengatakan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telahpun bertemu dengan pihak Telegram pada 18 September 2024 lepas untuk berbincang tentang cara-cara untuk membanteras isu sindiket jenayah di negara ini.
Fahmi mengatakan bahawa terdapat beberapa bentuk jenayah yang masih berleluasa khususnya di alam siber Malaysia, termasuklah sindiket penipuan siber yang termasuklah kecurian wang dan pelaburan palsu, menjual dadah, pornografi dan jenayah terhadap kanak-kanak.
Dengan pengumuman terbaru yang dilakukan oleh Telegram, dimana mereka akan bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk memastikan platform tersebut bebas daripada anasir-anasir jahat ini. Pihak SKMM dan Telegram juga dikatakan akan meneruskan perbincangan untuk memastikan kumpulan-kumpulan ini bukan sahaja ditutup, tetapi juga dalang-dalang disebalik saluran sedemikian dicari dan ditangkap supaya mereka tidak lagi dapat melakukan kegiatan jahat tersebut.
Fahmi juga mengatakan bahawa setakat ini, pijak kerajaan tidak berniat untuk mengambil tindakan terhadap pihak Telegramdengan syarat kerjasama diberikan untuk memastikan bahawa platform tersebut bebas daripada sebarang kandungan berunsur jahat.


