Fahmi: IPPTAR perlu wujudkan modul khusus AI, beri latihan kepada peserta

20 Feb 2024 • 8:28 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) diminta untuk menyediakan serta melengkapkan modul khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) sebagai latihan kepada peserta yang mengikuti kursus kendalian institut itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (gambar) berkata modul khusus itu juga perlu menggariskan kaedah penggunaan serta kawal selia AI terutama dalam bidang komunikasi termasuk yang melibatkan aspek reka grafik, penerbitan dan penyiaran.

“Modul khusus ini adalah untuk melatih mereka sama ada pasukan dalam kementerian atau dalam kalangan setiausaha akhbar atau ketua unit komunikasi korporat mengenai cara penggunaan AI...seterusnya buka (peluang) kepada pelbagai agensi dan orang ramai termasuk mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama IPPTAR 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin.

Pada masa sama, Fahmi berkata kursus atau latihan disediakan IPPTAR juga seharusnya bergerak selari dengan zaman memandangkan teknologi dalam aspek komunikasi seringkali berubah pada masa hadapan.

“Komunikasi kini adalah saluran semua arah dalam pelbagai bentuk, maka latihan IPPTAR perlu sediakan seharusnya bergerak bersama zaman kerana ada perubahan... jadi kita mulakan dengan AI.

Contohnya, hari ini kita minat aplikasi TikTok tetapi mungkin ada tahun-tahun akan datang ada aplikasi baharu yang lebih diminati dan IPPTAR perlu memahami senario dan landskap media sosial itu sendiri,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau berkata IPPTAR telah berjaya menganjurkan sebanyak 97 program latihan sepanjang tahun lepas dengan melibatkan 7,189 peserta dan ia merupakan pencapaian membanggakan.

“Namun saya berharap IPPTAR akan terus memastikan kualiti dan bukan kuantiti semata-mata,” katanya.

Sementara itu mengenai Buku Panduan Pelapor Mobile Journalism (MOJO) MADANI, Fahmi berkata pihaknya akan menyediakan pautan untuk e-buku berkenaan supaya lebih ramai orang dapat memuat turun buku panduan itu yang sebelum ini hanya diterbitkan secara fizikal.

MOJO MADANI yang dilancarkan pada Disember tahun lepas bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran pengamal media profesional termasuk kewartawanan awam yang semakin berkembang di negara ini untuk pelaporan yang pantas, sahih dan benar. -Bernama