
SEREMBAN: Kerajaan berhasrat meningkatkan digitalisasi merentasi negeri, syarikat dan masyarakat seperti dinyatakan dalam kerangka Ekonomi Madani, sekali gus meningkatkan pengeluaran dan meminimumkan pembaziran sumber, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (gambar).
Beliau berkata daripada sudut ekonomi, pendigitalan bakal mengubah cara organisasi beroperasi dan sekiranya mereka menjadikan teknologi digital sebagai teras utama, organisasi itu mampu beroperasi dengan cekap.
Merujuk pelancaran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai lepas, beliau berkata kerangka itu bertujuan membina kegemilangan Malaysia dan generasi baharu berasaskan nilai-nilai Madani.
“Kerajaan berazam melahirkan syarikat tempatan yang berdaya saing di pasaran antarabangsa, selain menyokong pengembangan syarikat tempatan pada semua tahap. Justeru, syarikat-syarikat tempatan diseru untuk memacu inovasi dan persaingan.
”Pada masa yang sama, syarikat-syarikat tempatan akan terus dibantu oleh kerajaan melalui usaha merancakkan semula pasaran modal bagi memacu transformasi syarikat,” katanya ketika berucap melancarkan Semarak Gemilang Malaysia MadanI OHMYDIN! Meriah Bersama sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan ulang tahun Mydin ke-66, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Datuk Dr Ameer Ali Mydin.
Sehubungan itu, Fahmi berkata syarikat-syarikat tempatan seperti MYDIN perlu memanfaatkan kerangka Ekonomi Madani dan berusaha mengintai peluang dan menempatkan diri dalam segala inisiatif yang dilaksanakan.
Beliau berkata tunggak utama dalam ekonomi Madani sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi masa depan iaitu ekonomi digital dan peralihan tenaga, sekali gus dapat menyediakan kesalinghubungan yang menyumbang kepada perkhidmatan dalam ekonomi digital dengan lebih luas.
“Usaha kementerian menyediakan perkhidmatan Internet sehingga ke tiga peratus ke kawasan berpenduduk yang langsung tiada kesalinghubungan (capaian Internet) termasuk di kampung Orang Asli, membolehkan mereka guna Internet melalui satelit contohnya.
“Jadi mereka juga boleh membeli barangan dari MYDIN (secara dalam talian). Ini adalah satu perkara yang positif menjadi teras kepada ekonomi Madani,” katanya. -Bernama


