Fahmi: Komuniti Madani perlu berperanan aktif salur informasi tepat, sahih

LocalPolitics
6 Jul 2023 • 8:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEREMBAN: Komuniti Madani perlu berperanan aktif dalam membantu menyalurkan informasi tepat dan sahih selain menyebarluaskan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan ke peringkat akar umbi secara berterusan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil (gambar).

Beliau berkata komuniti itu juga perlu membantu kerajaan menangani dan menjelaskan isu, fitnah dan berita palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dalam pelbagai bentuk terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

“Sebagai contoh hari ini Bank Negara Malaysia (BNM) umumkan OPR (kadar dasar semalaman) kekal tiga peratus, jadi saya mohon rakan-rakan Komuniti Madani yang ada sosial media termasuk Instagram, Facebook dan Twitter dan terbaharu Threads untuk sampaikan maklumat ini ke akar umbi.

Jangan ada sesiapa percaya jika ada yang kata kadar OPR naik dan sebagainya, jadi Komuniti Madani bila ada pengumuman dan pemakluman baik daripada kerajaan, pastikan ia sampai ke akar umbi,” katanya ketika berucap merasmikan program Kita Madani peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Komuniti Madani merupakan badan sukarela terdiri daripada pelbagai kaum yang ditadbir urus Jabatan Penerangan Malaysia dengan 1,878 ditubuhkan di seluruh negara dan 108 daripadanya adalah di Negeri Sembilan membabitkan 36 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Fahmi berkata kerajaan sentiasa menggalakkan penyertaan komuniti dalam usaha menyampaikan maklumat sahih, telus dan bermanfaat kepada rakyat bagi melahirkan masyarakat yang berinformasi.

“Segala usaha dan inisiatif kerajaan untuk melahirkan komuniti yang bermaklumat tidak akan berhasil tanpa kerjasama erat daripada komuniti setempat, kita juga minta mereka bergerak aktif sampaikan maklumat kepada orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata masyarakat perlu membudayakan konsep Penyelidikan, Bertanggungjawab serta Lapor dan budaya itu wajar menjadi teras sebelum berkongsi sebarang maklumat di media sosial.

“Hal ini kerana bahan-bahan berbentuk spekulasi, tuduhan dan penghinaan boleh memberi impak (negatif) yang besar kepada negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau sekali lagi mengingatkan masyarakat supaya mengelakkan daripada menyentuh isu sensitif 3R iaitu berkaitan agama, perkauman dan institusi diraja terutamanya menjelang PRN kali ini.

Katanya, ketiga-tiga perkara itu penting dihindarkan bagi mengelak perpecahan dalam komuniti sekali gus menjaga keharmonian masyarakat di negara ini.

“Walaupun berbeza pandangan politik, jangan sampai kerukunan perpaduan di peringkat masyarakat terkesan,“ katanya. -Bernama

View Original Article