
TASEK GELUGOR: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dijangka dijenamakan semula menjelang suku kedua tahun ini, dengan melibatkan perubahan pada nama dan fungsinya, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi melihat penjenamaan baharu itu perlu dibuat, berdasarkan kepada pengalaman dan pengamatan di lapangan yang mendapati orang ramai hadir ke PEDi untuk pelbagai aktiviti yang tidak melibatkan ekonomi digital.
Menurut beliau, ramai yang datang ke PEDi untuk mendapatkan pelbagai maklumat, antaranya mengenai geran, bantuan serta perkhidmatan kerajaan, dan ada juga PEDi yang turut melaksanakan fungsi sebagai pejabat pos.
“Bukan sekadar tukar nama, tetapi tukar fungsi sekali, sebab kita nampak contoh, pendaftaran PADU (sistem Pangkalan Data Utama).. ia dari satu sudut bukan ekonomi digital, (tetapi) ia memanfaatkan prasarana yang ada, untuk akhirnya memberi bantuan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PEDi Taman Gelugor Indah di sini hari ini. -Bernama

