Fahmi selesa bergelar QC jurukimpal

12 Oct 2026 • 10:53 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Fahmi selesa bergelar QC jurukimpal

JIKA dahulu, Muhamad Fahmi Ikhwan Mohd. Zaidi, 23, tidak tahu apa yang mahu dilakukannya pada masa hadapan. Namun, semuanya berubah apabila dia mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Atas galakan keluarga terutama bapa saudaranya yang bekerja sebagai tukang kimpal (welder), dia meneruskan pengajian Sijil Kemahiran Malaysia di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil, Melaka.

Kemudian, pemuda yang mesra disapa Fahmi itu menyambung pengajian Diploma Kimpalan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Batu Pahat, Johor.

“Selepas habis belajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tiada niat mahu sambung belajar dan tidak tahu hendak buat apa.

“Oleh itu, bapa saudara menyarankan kepada saya untuk mencuba bidang kimpalan kerana ia menjanjikan masa hadapan yang cerah, bahkan kemahiran ini sangat diperlukan dalam pelbagai industri.

“Alhamdulillah, sudah hampir empat tahun saya bekerja dalam bidang ini dengan berperanan membuat kawalan kualiti (QC) dalam pasukan pemeriksaan di pusat operasi syarikat-syarikat minyak dan gas di daratan (onshore) seluruh Malaysia,” kata pemuda berasal dari Batu Pahat itu.

Jelas Fahmi, antara tugas yang perlu digalas sebagai QC adalah memantau kerja-kerja kimpalan di pusat operasi syarikat minyak dan gas di daratan, memastikan tukang kimpal mengikut prosedur ditetapkan dan mengesahkan barangan kimpalan dipakai.

“Bukan itu sahaja, kami juga perlu menyiapkan laporan untuk setiap kerja kimpalan. Dari situ, klien akan melihat hasil kerja serta membuat semakan jika ada sebarang masalah.

“Bertugas sebagai QC bukan mudah kerana setiap kerosakan atau kebocoran selepas kerja-kerja kimpalan, kami perlu bertanggungjawab sepenuhya,” ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Tambah Fahmi, untuk satu-satu projek, kebiasaannya akan melibatkan pasukan QC sekitar 15 orang yang menggalas tugas di kawasan ditetapkan.

Image from: Fahmi selesa bergelar QC jurukimpal
SEBAGAI seorang QC, Fahmi perlu memantau kerja-kerja kimpalan di pusat operasi syarikat minyak dan gas di daratan.

“Kami bekerja di bawah syarikat penyedia tenaga kerja kimpalan, jadi tugas kami berdasarkan projek yang diberikan oleh syarikat minyak dan gas.

“Sehubungan itu, kami bertugas di merata pusat operasi syarikat minyak dan gas di seluruh Malaysia dengan jangka masa selama sebulan lebih hingga tiga bulan,” katanya sambil memberitahu, dia mula didedahkan dengan kerja-kerja QC sejak menjalani latihan praktikal.

Fahmi berkata, walaupun dia perlu bekerja selama 12 jam sehari dan berjauhan dengan keluarga, tetapi dia seronok kerana dapat menimba banyak pengalaman, di samping gaji yang agak setimpal.

“Saya suka bekerja dengan orang-orang dalam bidang minyak dan gas kerana mereka ada budaya memberi tunjuk ajar serta tidak lokek menghulurkan bantuan.

“Setiap pusat operasi syarikat minyak dan gas yang saya pergi memberikan pengalaman berbeza.

“Saya akan kumpul semua pengalaman ini untuk menaik taraf diri dan keluar daripada zon selesa bagi mengejar cita-cita untuk berada di tempat teratas dalam bidang ini,” tuturnya yang merancang menyambung pengajian sijil khas untuk bergelar welding inspector (pemeriksa kimpalan) pada masa hadapan.

Ujar Fahmi, persaingan dalam bidang TVET sangat sengit, jadi dia perlu sentiasa menaik taraf diri dengan mengikuti pelbagai kursus yang menawarkan sijil-sijil profesional untuk meletakkan dia di posisi lebih tinggi.

Pada masa hadapan, dia memasang impian besar untuk mempunyai syarikat sendiri yang menyediakan tenaga mahir dalam bidang kimpalan.

The post Fahmi selesa bergelar QC jurukimpal appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved