Faisal Halim dedah trauma belum hilang, motif serangan kekal misteri

LocalFootball
21 Mar 2026 • 1:57 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 21 MAC: Di sebalik kebangkitan di atas padang, Faisal Halim masih dihantui persoalan mengapa dirinya menjadi sasaran serangan asid yang hampir meragut kariernya.

Kapten Selangor FC itu berkata, walaupun semakin tenang menghadapi ujian yang berlaku hampir dua tahun lalu, persoalan mengenai insiden tersebut masih belum terjawab.

“Walaupun saya nampak begitu tenang, ‘steady’ menghadapi ujian ini tapi kesan itu tak mungkin hilang. Parut di badan, di muka saya masih ada.

“Saya terfikir kenapa perkara ini berlaku kepada saya? Tapi benda dah lepas, lepaslah. Sekarang waktu untuk saya kembali ke arena bola sepak dan buktikan saya mampu berjuang,” katanya kepada Media Selangor.

image is not available
Pemain Bolasepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Faisal atau lebih mesra disapa Mickey berkata, beliau dan keluarganya masih trauma dengan kejadian berkenaan sehingga terpaksa mengehadkan pergerakan harian.

“Saya banyak habiskan masa di rumah, tempat kerja, sesi latihan, padang bola atau program anjuran kelab. Nak keluar tempat lain pun kena fikir banyak kali.

“Kalau keluar, kena sentiasa peka dengan sekeliling. Tak boleh leka. Kena bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Pada 5 Mei 2024, Faisal disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Akibat kejadian itu, pemain kebangsaan berkenaan mengalami lecur tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan serta rawatan fisioterapi.

View Original Article