Faizal Ismail Dilamar Radio Zayan, Tampil Dalam Segmen 'Zayan Pagi' Bersama Mawi dan Anas

29 Aug 2022 • 2:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mawi (kiri), Anas Tahir dan Faizal Ismail kini akan menemani pagi anda menerusi 'Zayan Pagi' - Gambar ihsan Radio Zayan

Personaliti radio tempatan berpengalaman, Faizal Ismail telah dilamar pihak pengurusan radio Zayan untuk mengemudi segmen pagi stesen radio tersebut bersama Mawi dan Anas. 

Zayan Pagi yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 hingga 10 pagi ini akan memaparkan pelbagai pengisian dan perkongsian Islamik menarik yang cukup penting dalam kehidupan seharian kita. 

Pengurus Kandungan Zayan, Wan Syahrul Amry berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan kedatangan Faizal ke dalam keluarga Zayan untuk berganding bersama Mawi dan Anas di 'Zayan Pagi.'

“Dengan pengalaman yang dibawa oleh Faizal, peminat-peminat Zayan boleh terus menikmati segmen-segmen menarik termasuk ‘Sahabat Zayan Pagi’, di mana peminat diberi peluang untuk bertanya sebarang persoalan dan meluahkan perkara yang terbuku di hati untuk mendapatkan pandangan dan ulasan daripada Mawi, Anas serta Faizal Ismail.

“Perbincangan ini akan dilakukan secara santai dan topik-topik perbincangan harian juga boleh dikongsikan oleh semua pendengar menerusi panggilan telefon di udara dan di platform media sosial Zayan,” katanya. 

        View this post on Instagram                      

A post shared by ZAYAN (@zayan.my)

Pengisian-pengisian menarik di ‘Zayan Pagi’ adalah seperti Motivasi Pagi iaitu perkongsian kata-kata motivasi, Takzirah Pagi (ceramah ringkas berkaitan Islam) serta Hadith of the Day (pilihan hadis harian).  

Selain itu, Mahir Bahasa Arab memberi peluang kepada peminat untuk mempelajari perkataan Bahasa Arab, Kelas Tajwid (kelas mempelajari ilmu tajwid), Topik Pagi Zayan (sesi perkongsian topik menarik bersama peminat), Aura Zayan (perkongsian kata-kata berinspirasi daripada tetamu jemputan yang dikongsikan bersama peminat Zayan). 

Selain itu, peminat Zayan juga dapat menikmati Sahabat Zayan Pagi iaitu segmen baharu di ‘Zayan Pagi’.  

Peminat juga boleh strim Zayan dan mendengarkan Zayan Pagi bersama Mawi, Anas dan Faizal Ismail menerusi aplikasi SYOK. Untuk maklumat lanjut tentang personaliti-personaliti Zayan dan kempen-kempen, ikuti Zayan platform media sosial. - Getaran, 29 Ogos 2022