Fajarbaru peroleh kontrak bangunkan semula kemudahan ketenteraan Jabatan Pertahanan Australia di Butterworth

10 Jul 2023 • 6:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Fajarbaru peroleh kontrak bangunkan semula kemudahan ketenteraan Jabatan Pertahanan Australia di Butterworth

diyana

10/07/2023 - 18:36

KUALA LUMPUR 10 Julai - Fajarbaru Builder Group Bhd telah menerima kontrak daripada Jabatan Pertahanan Australia untuk membangunkan semula kemudahan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.

Menurut satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata anak syarikatnya , Fajarbaru Builder Sdn Bhd (FBSB) dengan Avionics Pty Ltd (APL) telah dianugerahkan Kontrak Utama (Antarabangsa) Dua Fasa tersebut pada 10 Julai 2023.

Bagi Fasa Perancangan projek, bahagian kontrak Fajarbaru adalah bernilai RM7.36 juta, yang akan bermula serta-merta dan dijadualkan siap pada 13 November 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Datuk Sri Eric Kuan Khian Leng berkata kontrak tersebut merupakan peristiwa penting bagi kumpulan itu yang menunjukkan kepakaran dan kredibilitinya dalam industri pembinaan.

image is not available
Datuk Sri Eric Kuan Khian Leng

"Ia mengesahkan kedudukan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam projek infrastruktur kritikal, dan membuka pintu untuk peluang masa depan dalam sektor pertahanan.

"Kami komited sepenuhnya untuk memberikan hasil yang luar biasa, mempamerkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan dan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan ketat Jabatan Pertahanan Australia,“ ujar beliau.

Skop projek termasuk naik taraf operasi dan rekreasi kepada turapan lapangan terbang, infrastruktur pencahayaan tanah, saliran, padang ragbi, gelanggang futsal dan infrastruktur berkaitan di pangkalan tentera. - DagangNews.com