Fakta tepat sejarah tanam semangat patriotik generasi muda

LocalPolitics
21 Aug 2025 • 12:42 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

INANAM: Semangat patriotik dapat dipupuk dengan lebih berkesan jika rakyat Sabah, terutama generasi muda, memahami sejarah berdasarkan fakta yang tepat.

Penggerak Parti Warisan Inanam Lewis Wong, berkata tanpa mengira pegangan politik — sama ada pembangkang atau pemerintah — kebenaran berasaskan fakta mampu menyatukan semua kaum di negeri ini yang kadangkala berbeza pandangan.

“Tanpa kebenaran, sesiapa sahaja boleh terkeliru. Bulan Ogos mencetuskan semangat patriotik dan sekali lagi Malaysia menyambut Hari Kebangsaan dengan kibaran bendera di tepi jalan, pusat beli-belah, kereta dan rumah.

“Semua ini mencerminkan kecintaan rakyat kepada tanah air. Namun, dalam suasana perayaan ini, adakah kita benar-benar memahami sejarah dan fakta ‘Hari Kebangsaan’?” katanya pada satu majlis mendekati masyarakat di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulangi kebimbangan mengenai naratif yang salah berkaitan tarikh Hari Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan Malaysia serta penubuhannya, yang terus diperkatakan saban tahun. Katanya, setiap tahun juga pemimpin perlu mengingatkan mengenai tarikh yang tepat.

Lewis berkata, sejak kecil rakyat diajar dengan naratif rasmi melalui sistem pendidikan bahawa 31 Ogos setiap tahun adalah “Hari Kebangsaan”, sekali gus memberi gambaran bahawa itulah tarikh penubuhan Malaysia.

Sambutan rasmi Hari Kebangsaan turut dikira bermula 31 Ogos 1957, namun menurutnya, maklumat itu tidak tepat kerana tarikh sebenar penubuhan Malaysia ialah pada 16 September 1963.

“Malangnya, untuk tempoh yang lama kita hanya diajar secara halus bahawa itu adalah hari ‘Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri Sabah’,” katanya.

Beliau menegaskan, penting bagi generasi muda di Sabah mengetahui dengan tepat sejarah yang berkaitan Hari Kebangsaan dan berpegang kepada ketepatan fakta.

Bahkan, aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) juga memaparkan fakta tepat bahawa Hari Kebangsaan Malaysia disambut setiap 31 Ogos, yang juga dikenali sebagai Hari Kemerdekaan, untuk memperingati pembebasan Tanah Melayu daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957.

Merayakan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh bersejarah penting dalam proses pembentukan Malaysia wajar diingati, tetapi fakta sejarah tidak boleh dilupakan atau dikelirukan, jelasnya.

“Sejarah jelas mencatatkan bahawa Malaysia secara rasmi ditubuhkan pada 16 September 1963.

“Peristiwa pada 31 Ogos 1957 menandakan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, bukan penubuhan Malaysia.

“Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada 11 negeri pada masa itu sehingga 1963, apabila ia bersama-sama Borneo Utara British (kini Sabah), Sarawak dan Singapura membentuk Persekutuan Malaysia yang kita kenali hari ini,” katanya sambil menambah bahawa Singapura keluar dari Malaysia pada 1965.

Oleh itu, katanya, apa yang disambut pada 1957 ialah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, bukan penubuhan Malaysia.

“Menyatakan 1957 sebagai tahun penubuhan Malaysia atau meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-68 negara kita adalah tidak tepat,” tegasnya.

Lewis menggesa generasi muda mengambil inisiatif mengkaji, memahami dan menghormati fakta sejarah kerana Hari Kebangsaan adalah simbol penting negara yang membangkitkan rasa cinta serta bangga rakyat terhadap tanah air.

“Kita harus memastikan dalam apa jua bentuk sambutan, maklumat yang disampaikan mencerminkan fakta sejarah yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan atau penyimpangan yang tidak perlu.

“Tahun ini kita tidak menyambut ulang tahun ke-68 Hari Kebangsaan kerana Malaysia hanya berusia 62 tahun. Kita harus lebih berhati-hati dalam menangani fakta sejarah.

“Mengetahui perbezaan tarikh antara 31 Ogos dan 16 September bukan sahaja tanda penghormatan kepada sejarah, tetapi juga pengiktirafan terhadap peranan penting dua wilayah di Malaysia Timur dalam proses pembentukan negara,” katanya.

Beliau percaya hanya semangat patriotik berdasarkan pemahaman sejarah yang benar dapat menyatukan semua kaum di Malaysia untuk bersama-sama menuju masa depan yang lebih baik.