Faktor bahang api, kawasan terjejas luas punca seorang anggota bomba alami dehidrasi

3 Apr 2025 • 8:10 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengalami dehidrasi ketika terlibat pada hari pertama operasi memadam kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor semalam.

Timbalan Pengarah JBPM Negeri Selangor Khairul Azuwan Ibrahim berkata faktor seperti bahang kebakaran dengan suhu tinggi, melibatkan kawasan yang sangat luas serta jumlah mangsa yang ramai perlu dipindahkan antara cabaran yang terpaksa dihadapi anggota JBPM.

“Suhu lokasi pemeriksaan sangat tinggi kerana terlalu hampir dengan kawasan api yang menyebabkan anggota berkenaan mengalami dehidrasi dan tahap oksigen dalam badan menurun ketika melakukan kerja-kerja penyelamatan dan pemadaman,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata anggota yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu kembali pulih dan stabil selepas menerima rawatan selama 20 minit serta boleh menyambung semula tugas pemadaman api sehingga berjaya dikawal.

Difahamkan, pada awal kejadian pagi semalam, api kebakaran menjulang lebih 100 kaki (30 meter) ke udara, manakala suhu api mencecah 1,000 darjah Celsius.

— BERNAMA

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved