
SELEPAS beberapa tahun agak menyepikan diri daripada radar industri hiburan, kelibat pelakon cantik manis Farah Nabilah kembali mencuri perhatian.
Sejak bergelar ibu, wajahnya jarang kelihatan di kaca televisyen atau majlis hiburan besar seperti dahulu.
Namun baru-baru ini, SinarPlus berpeluang bertemu Farah dalam suasana santai ketika majlis Melodi Raya, sekali gus membuka ruang buat pelakon itu berkongsi kisah kehidupannya sepanjang tempoh 'berehat' daripada dunia lakonan.
Biarpun sudah lama tidak muncul dengan drama baharu, aura Farah masih sama. Senyumannya kekal manis, malah jelas terpancar sisi kematangan seorang wanita yang kini mengutamakan keluarga.
Pilih jadi ibu sepenuh hati
Menurut Farah, keputusan untuk memperlahankan kerjaya lakonan bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal.
Malah, sebelum bergelar ibu, dia sebenarnya sudah bersedia untuk terus aktif bekerja seperti biasa.

“Kalau diikutkan, saya memang tak terfikir pun akan fokus sepenuhnya pada anak. Dulu pemikiran saya memang nak bekerja saja.
"Saya dah bincang dengan suami dan dia pun okey kalau saya terus bekerja,” katanya.
Namun perancangan hidup tidak selalu berjalan seperti yang disusun.
Kehadiran pandemik COVID-19 mengubah banyak perkara, termasuk perjalanan hidupnya.
“Tapi lepas Covid, saya mengandung pula. Bila dah ada anak, saya jadi ‘full in love’ dengan peranan sebagai ibu.
"Dari situ saya pilih untuk fokus pada motherhood,” kongsinya jujur.
Sejak itu, kehidupan Farah banyak tertumpu kepada membesarkan anak-anak.
Walaupun dunia seni sentiasa dekat di hatinya, dia mengakui fasa menjadi ibu memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.
Bagi pemilik nama sebenar, Farah Nabilah Saipuddin, antara sebab utama dia masih belum kembali aktif berlakon adalah kerana mahu memastikan anak-anaknya benar-benar bersedia sebelum dia memberi komitmen kepada kerjaya semula.
Menurutnya, proses itu bukan sekadar menjaga, tetapi juga melatih mereka menjadi lebih berdikari.
“Saya nak prepare anak-anak supaya mereka lebih independent. Bagi mereka tahu macam mana nak buat susu sendiri, macam mana nak mandi sendiri.
"Bila semua tu dah bersedia, barulah saya boleh lepaskan mereka sedikit dan fokus semula pada lakonan,” jelasnya.
Anak belajar urus diri
Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi ruang untuk anak-anak belajar mengurus diri, malah memudahkan Farah untuk kembali bekerja tanpa rasa bersalah atau bimbang.
Dalam dunia seni yang bergerak pantas, tidak dinafikan ramai yang beranggapan seseorang artis akan terlepas banyak peluang jika mengambil rehat terlalu lama.
Artis Baharu Wanita Popular, di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 juga tidak menafikan perkara itu pernah bermain di fikirannya.
“Mula-mula tu memang ada rasa macam terlepas peluang. Orang selalu cakap bila jadi ibu, kita akan miss banyak job,” katanya.
Namun lama-kelamaan, perspektifnya berubah.
“Bila fikir balik, saya sedar apa yang saya ada sekarang pun satu rezeki. Walaupun duduk di rumah, masih ada peminat yang menonton drama-drama lama saya.
"Ada juga klien yang masih ingat dan hubungi saya,” ujarnya.
Bagi Farah, perkara itu membuatkan dia berasa sangat bersyukur kerana namanya masih diingati walaupun tidak aktif seperti dahulu.
“Alhamdulillah. Saya rasa tak ada apa yang saya korbankan sebenarnya,” tambahnya.
Menariknya, suami Farah tidak pernah menghalang minatnya dalam dunia lakonan. Malah menurut Farah, suaminya sendiri sering bertanya bila dia mahu kembali beraksi di set penggambaran.
“Suami tak pernah kisah pun. Tapi dia ada tanya juga, bila nak berlakon semula sebab itu memang passion saya,” katanya sambil tersenyum.

Walaupun begitu, Farah mengakui hatinya masih berat untuk meninggalkan anak-anak terlalu lama.
“Kadang-kadang saya rasa sayang sangat nak tinggalkan mereka. Tambahan pula mereka tengah membesar,” ujarnya.
Dalam menguruskan rumah tangga, anak sulung daripada enam beradik itu sebenarnya mempunyai pembantu rumah.
Namun pengalaman lalu membuatkan dia lebih berhati-hati untuk menyerahkan tanggungjawab menjaga anak sepenuhnya kepada orang lain.
Menurut Farah, sepanjang tempoh menjadi ibu, dia sudah melalui pengalaman dengan hampir 10 orang pembantu rumah.
“Ada macam-macam isu. Ada yang lari, ada juga masalah lain,” katanya.
Walaupun begitu, ibu kepada Andre Omar dan Yusuf Gibran menegaskan, dia tidak pernah memarahi pembantu rumahnya.
“Saya tak pernah marah atau maki mereka sebab mereka jaga anak kita. Tapi mungkin sebab saya terlalu baik, ada yang ambil kesempatan,” jelasnya.
Atas sebab itu juga, jika dia perlu keluar rumah, Farah lebih selesa meninggalkan anak-anak di bawah jagaan ibunya sendiri.
Tarawih bersama anak
Bercerita tentang Ramadan tahun ini, Farah mengakui kehidupannya kini lebih sederhana tetapi penuh makna.
“Tahun ini saya memang tak shooting langsung. Seratus peratus masa saya di rumah bersama anak-anak,” katanya.

Lebih menggembirakan, anak sulungnya kini semakin membesar dan sudah boleh diajak melakukan aktiviti ibadah bersama.
“Sekarang saya ajak dia solat tarawih sekali, ajak dia solat sama-sama. Saya rasa sangat gembira dengan momen-momen macam tu,” katanya.
Walaupun memilih untuk memperlahankan kerjaya seni, Farah percaya setiap keputusan yang diambil mempunyai hikmahnya tersendiri.
Menurutnya, salah satu perkara yang membuatkan dia bersyukur ialah karya lakonannya masih ditonton sehingga hari ini.
“Saya ada satu drama yang orang masih tengok sampai sekarang. Jadi walaupun saya tak berlakon sekarang, orang masih kenal saya,” katanya.
Bagi Farah, itu sudah cukup membuatkan dia berasa dihargai sebagai anak seni.
“Bila fikir balik, pengorbanan sebagai pelakon dan sebagai ibu tu berbaloi. Saya sangat bersyukur,” katanya sambil tersenyum manis.
