Farid Alias berundur daripada Celcomdigi, bakal terajui Bursa Malaysia

30/04/2025 - 15:11
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 30 April — Tan Sri Abdul Farid Alias melepaskan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah di CelcomDigi Berhad, termasuk selaku pengarah bebas yang berkuat kuasa 30 April 2025.
Pengunduran tersebut berikutan pengumuman pelantikannya oleh Bursa Malaysia Berhad pada 27 Mac 2025 sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar bermula 1 Mei 2025.
CelcomDigi berkata, Farid meletakkan jawatan disandangkan sejak 30 November 2022 itu secara baik, tanpa sebarang isu dibangkitkan dengan lembaga pengarah atau pemegang saham syarikat telekomunikasi berkenaan.
"Beliau menyertai Lembaga Pengarah CelcomDigi termasuk sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit serta Ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan," kata syarikat tersebut dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malayan Banking Berhad dari Ogos 2013 sehingga April 2022 itu juga telah lama berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Bursa Malaysia sejak Julai 2022.
Farid, 57, mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan Abdul Wahid apabila bersara pada 30 April 2025 selepas menamatkan tempoh perkhidmatan menerajui kepimpinan bursa berkenaan selama lima tahun.
Seorang jurubank bertauliah, Farid membawa pengalaman sepanjang 30 tahun dalam perkhidmatan perbankan dan kewangan, dengan pengkhususan dalam perbankan pelaburan, perbankan komersial dan pasaran modal.
Beliau telah memegang pelbagai peranan di institusi seperti Maybank Investment Bank Berhad, Schroders Malaysia (L) Ltd, Malaysian International Merchant Bankers Berhad, serta JP Morgan di Malaysia dan Singapura.
Dalam makluman yang berasingan, CelcomDigi turut menyatakan bahawa duan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Khatijah Begom Shah Mohamed dan Vimala VR Menon, kekal sebagai ahli jawatankuasa audit.
"Lembaga pada masa ini sedang mengambil langkah untuk mengisi kekosongan yang ada bagi mematuhi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama," kata syarikat berkenaan.
Selain itu, bagi jawatankuasa pencalonan dan imbuhan, komposisi ketika ini termasuk Datuk Iain John Lo sebagai pengerusi dan Vimala sebagai ahli. - DagangNews.com
featured standard

